
Sejak semalam, Datuk Profesor Dr Muhaya Mohamad menjadi perhatian ramai apabila satu perkongsiannya berkaitan isu ‘kenapa wanita lambat dapat jodoh’ mengundang kecaman netizen.
Kenyataan Profesor Dr Muhaya berkaitan sifat wanita yang perlu kelihatan lemah-lembut dan ‘kurang bijak’ di hadapan lelaki menimbulkan kecaman netizen.
Terbaharu, Prof Muhaya telah tampil memberi penjelasan dalam Facebook miliknya, mengenai kenyataan yang dikeluarkannya itu.
Menurut Prof Muhaya, hantaran klip 56 saat tersebut adalah petikan daripada siaran langsung Facebook Page Prof Muhaya dan Youtube Prof Muhaya TV berdurasi 45 minit yang diterbitkan pada 6 Feb lalu pukul 6 petang bertajuk “Antara Cinta dan Cita-cita”.
“Siaran live Bonda tersebut adalah sebenarnya bagi menjawab persoalan KK Talib dan komen-komen dari Facebook. Secara teknikalnya, ini ialah video lama. Bagaimanapun Bonda faham klip yang telah disunting kepada 56 saat ini, telah menimbulkan pelbagai reaksi kurang senang dalam kalangan masyarakat, terutamanya kaum wanita, sehingga menimbulkan persoalan, perbalahan dan sangkaan.
“Bonda mengambil tanggungjawab untuk memohon maaf atas salah faham yang timbul dan ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada semua yang ambil berat termasuk pihak media, rakan-rakan dan keluarga yang mengambil inisiatif tabayyun, atau bertanya akan perkara sebenarnya kepada Bonda mahupun team Bonda,” jelas beliau.
Tambah Prof. Muhaya, dia juga seorang wanita, isteri, ibu dan nenek yang berkerjaya dan semestinya sentiasa mendukung, mendoakan wanita semua berjaya ke puncak tertinggi, berbahagia dunia akhirat dan mendapat reda Allah.
Dalam pada itu, ramai yang mempertahankan Prof Muhaya dengan mengatakan beliau menggunakan bahasa kiasan bahawa wanita perlu mengalah sedikit dengan lelaki apatah lagi kedudukan lelaki itu diletak lebih tinggi berbanding wanita di sisi agama.
Kata seorang netizen, itu bukan bermakna untuk merendahkan martabat wanita tetapi mencari keharmonian dalam rumah tangga.
Seorang netizen lagi mengatakan, ayat bodoh-bodoh sikit yang digunakan oleh Prof Muhaya sememangnya tidak sesuai sebaliknya menggunakan ayat tidak perlu terlalu ego dengan lelaki.
Namun tidak kurang juga yang mengecam kenyataan tersebut termasuk pelatih Pakar Bedah, Dr. Nur Amalina Che Bakri melalui Twitternya berkata, dia seolah-olah dijadikan ‘punching bag’ susulan kenyataan itu walaupun ramai lagi netizen yang menyatakan pendapat sama berkenaan video dimuat naik Muhaya.
“Kenyataan bahawa ramai individu termasuk doktor dan orang terkenal lain memberikan pendapat yang serupa, tetapi kemudian Dr. Amalina juga mendapat perhatian oleh media dan dijadikan ‘punching bag’. Sudah nasib,” ciapnya.
Nur Amalina kemudiannya sempat berpesan kepada para wanita untuk kekal menjadi diri sendiri dan jadi versi terbaik diri mereka.
Tidak ketinggalan, Datuk Dr Harlina Halizah Siraj, pengasas Akademi Dr Har dan Profesor Fakulti Perubatan UKM turut terpanggil mengupas isu yang sedang hangat diperkatakan warga maya. Mengakui kenyataan tersebut menimbulkan kekecewaan apatah lagi perihal sensitif seperti soal jodoh dibicarakan tanpa berlapik dan berselindung.
Malah tegasnya, setiap lelaki dan wanita berhak mendapat pengiktirafan terhadap sumbangan masing-masing. Bukannya secara bertanding dan bersaing dengan kaum yang berlainan jantina.
Dr Harlina turut mengulas perihal lambat atau cepatnya jodoh seseorang berada di tangan mutlak Allah SWT, malah faktor tarikan dan penolakan jodoh juga sangat subjektif dan tidak konsisten.