
Bekas eksekutif Goldman Sachs, Roger Ng dituduh di Mahkamah Persekutuan Brooklyn, Amerika Syarikat, menerima sogokan berjuta-juta dolar kerana membantu menggelapkan dana 1MDB. - Gambar Reuters
Mahkamah di Amerika Syarikat yang sedang dalam perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) memanggil isteri bekas pegawai Goldman Sachs, Roger Ng bagi memberi keterangan berhubung penyelewengan ratusan juta dana negara semalam.
Ng merupakan bekas pegawai eksekutif Goldman di Malaysia, didakwa bersubahat melakukan pengubahan wang haram dan melanggar undang-undang antirasuah antara 2009 dan 2014, menurut laporan Rueters.
Pendakwa raya mendakwa tertuduh membantu bekas bosnya Tim Leissner menggelapkan wang daripada 1MDB, mencuci hasil dan merasuah pegawai untuk mendapatkan perniagaan bagi Goldman.
Ng sebelum ini mengaku tidak bersalah dengan berhujah kira-kira AS$35 juta diterimanya daripada Leissner sebelum ini yang disifatkan pendakwa raya sebagai sogokan daripada skim itu, sebenarnya adalah hasil usaha perniagaan yang sah antara kedua-dua isteri mereka (Ng dan Leissner).
Isterinya, Hwee Bin Lim, memberi keterangan semalam selepas Ng mula bekerja untuk Leissner pada pertengahan 2000, Lim melabur 48 juta yuan, bersamaan kira-kira AS$6 juta pada masa itu dalam sebuah syarikat di China yang dimiliki oleh keluarga isteri Leissner, Judy Chan.
Keterangan Lim datang pada hari kedua kes pembelaan dalam perbicaraan, yang bermula sejak awal Februari.
Lim berkata dia dan Chan bertengkar pada 2011, dan Chan memberitahunya untuk melepaskan pegangan sahamnya kerana meningkat dengan ketara.
Pada 2012, Chan memberitahunya sedia untuk memindahkan AS$26 juta, kata Lim.
Ketika ditanya oleh peguam Ng, Marc Agnifilo sama ada wang yang dikatakan Chan akan dihantar kepada Lim datang daripada 1MDB, Lim menjawab, “Tidak sama sekali.”
“Ia mesti datang daripada Judy dan keluarganya,” kata Lim.
Peguam Chan tidak menjawab permintaan untuk komen.
Leissner pada 2018 mengaku bersalah atas pertuduhan sama, memberi keterangan pada Februari bahawa pelaburan dibuat Lim dalam perniagaan di China dengan Chan adalah “cerita rekaan” yang dibuatnya dengan Ng bagi mengelak bank yang memproses dana sogokan tersebut tidak curiga.
Tuduhan itu berpunca daripada salah satu skandal kewangan terbesar dalam sejarah, di mana pendakwa raya AS mengatakan AS$4.5 bilion daripada AS$6.5 bilion yang dikumpul Goldman untuk 1MDB telah dialihkan kepada pegawai kerajaan, pegawai bank dan rakan sekutu mereka melalui rasuah dan sogokan.
Goldman pada 2020 membayar denda hampir AS$3 bilion dan mengarahkan supaya cawangannya di Malaysia mengakui kesalahan itu di Mahkamah AS.