Ismee letak jawatan tidak mahu terlibat keputusan masa depan 1MDB

Bekas Pengarah Bukan Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Tan Sri Ismee Ismail memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur beliau meletak jawatan kerana bimbang mengenai keputusan masa depan yang akan dibuat syarikat itu.

Saksi pendakwaan ke-13 itu berkata demikian ketika membacakan pernyataan setebal 111 muka surat dalam perbicaraan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang menghadapi empat tuduhan menyalahgunakan kedudukannya untuk memperoleh rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Ketika itu Najib menjadi Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB, syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan.

Ismee berkata beliau menyerahkan surat peletakan jawatan kerana bimbang hal ehwal syarikat itu serta keputusan yang akan dibuat pada masa hadapan.

Menurutnya beliau menyerahkan surat peletakan jawatan itu kepada Pegawai Khas Najib Razak ketika itu, Datuk Amhari Efendi Nazaruddin pada Jun 2015.

“Saya, selaku ahli lembaga pengarah, menyerahkan surat letak jawatan pada Jun 2015. Keputusan itu dibuat atas faktor kebimbangan dan saya tidak mahu terlibat lagi dalam keputusan yang dibuat syarikat pada masa akan datang,” katanya.

Ismee menjelaskan Amhari meminta beliau untuk menangguhkan keputusan itu kerana satu pilihan sedang dipertimbangkan untuk menukar keseluruhan Lembaga Pengarah.

“Amhari meminta saya tangguhkan keputusan kerana ketika itu pilihan untuk mengubah seluruh lembaga pengarah sedang dipertimbangkan.

“Namun pada 2016, kami semua Ahli Lembaga Pengarah dan pengurusan 1MDB meletak jawatan kerana Lembaga Pengarah dan pengurusan baharu dilantik,” katanya dalam pemeriksaan utama Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib.

Amhari, adalah saksi kelapan pendakwaan dalam perbicaraan ini.

BERITA BERKAIT
POPULAR