
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akhirnya mengumumkan kebenaran pengeluaran khas sebanyak RM10,000 daripada simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini.
Perincian mengenai pengeluaran simpanan terbabit akan diumumkan oleh Kementerian Kewangan dan KWSP.
Ujar beliau, keputusan itu dibuat berdasarkan kepada dapatan kajian dan penelitian secara menyeluruh dalam kalangan Keluarga Malaysia yang masih terkesan dari segi ekonomi, kehilangan pendapatan dan sedang membina semula kehidupan.
“Berdasarkan dapatan kajian dan penelitian secara menyeluruh dalam fasa pemulihan selepas pandemik ini, ada dalam kalangan Keluarga Malaysia yang masih terkesan dari segi ekonomi, hilang pendapatan dan sedang membina semula kehidupan.
“Kerajaan mendengar, mengkaji dan meneliti permintaan daripada semua pihak untuk mengeluarkan caruman KWSP.
“Justeru itu, pada hari ini kerajaan bersetuju membenarkan pengeluaran khas KWSP sebanyak RM10,000,” katanya semasa sidang media hari ini.
Bagaimanapun, Ismail Sabri berkata ia satu keputusan yang sukar kerana ia melibatkan simpanan masa depan orang ramai dan merayu ia hanya dikeluarkan sekiranya terdapat keperluan mendesak.
“Ini merupakan keputusan yang sukar kerana ia melibatkan simpanan hari tua rakyat dan pengeluaran khas ini adalah jalan tengah dalam mengimbangi antara keperluan mendesak hari ini dan simpanan masa hadapan.
“Walaupun Kerajaan memberikan kebenaran untuk pengeluaran khas KWSP ini, namun saya merayu kepada para pencarum supaya mengekalkan simpanan mereka kecuali keadaan benar-benar mendesak.
“Saya berharap para pencarum membuat pertimbangan yang sewajarnya sebelum melakukan pengeluaran, demi masa depan,” katanya lagi.
Untuk rekod, kerajaan sebelum ini membenarkan pengeluaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melalui tiga skim iaitu i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra berjumlah RM101 bilion, melibatkan 7.34 juta pencarum sejak pandemik Covid-19 melanda negara dua tahun lalu.
Beliau juga berharap pencarum KWSP membuat pertimbangan dan berfikir masak-masak sebelum membuat keputusan untuk mengeluarkan wang simpanan mereka tersebut.
“Saya berharap para pencarum membuat pertimbangan yang sewajarnya sebelum melakukan pengeluaran, demi masa depan,” katanya lagi.