Ismail Sabri perlu patuh ketetapan UMNO tak sambung MoU dengan PH

Ketetapan UMNO yang memutuskan untuk tidak menyambung memorandum persefahaman (MoU) dengan pembangkang perlu dipatuhi Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata keputusan yang dibuat Majlis Tertinggi (MT) sebelum ini untuk tidak menyambung MoU tersebut adalah muktamad dan tidak ada wakil daripada parti itu yang akan menandatanganinya bagi pihak UMNO, ia termasuk Ismail Sabri.

“Dengan keputusan Majlis Tertinggi (MT) UMNO itu, tiada siapa yang akan menandatangani bagi pihak UMNO kerana kita tidak menyokong sekiranya ada usaha meneruskannya selepas 31 Julai ini,” katanya dipetik laporan media.

Kenyataan Ahmad tidak ada wakil UMNO yang akan mewakili parti itu untuk meneruskan MoU dengan pembangkang itu secara tidak langsung memberi isyarat Ismail Sabri perlu mengikut keputusan parti.

Ahmad juga tidak bersetuju dengan kenyataan pemimpin pembangkang yang mahu UMNO tidak mencampuri urusan MoU itu yang melibatkan kerajaan Persekutuan dengan Pakatan Harapan (PH) itu.

Terdahulu, Pengarah Komunikasi PH, Fahmi Fadzil; Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook dan Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub menggesa supaya UMNO tidak mencampuri urusan MoU itu.

“Tentunya keputusan tersebut berdasarkan fakta dan hujah yang kukuh daripada UMNO kenapa persefahaman MoU tersebut tidak perlu dilanjutkan selepas 31 Julai.

“Semua perlu lihat secara terperinci kandungan MoU tersebut yang ditandatangani pada 13 September 2021 yang merangkumi enam perkara termasuk Pemerkasaan Pelan Covid-19,” katanya lagi.

Khamis lalu, MT UMNO memutuskan untuk tidak meneruskan MoU Transformasi dan Kestabilan Politik antara kerajaan Persekutuan dan PH selepas tamat pada 31 Julai ini.

Keputusan tersebut sekaligus menghangatkan lagi spekulasi bahawa Parlimen akan dibubarkan bagi memberi laluan kepada pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) lebih awal.

BERITA BERKAIT
POPULAR