Ismail Sabri mesti buat keputusan sebagai PM, bukan pemimpin parti

August 30, 2022 · Isu semasa

Setiausaha Agung DAP Anthony Loke menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membuat keputusan untuk kebaikan negara sebagai pemimpin nombor satu Malaysia, bukannya atas kapasiti sebagai Naib Presiden UMNO.

Ahli Parlimen Seremban itu berkata Ismail Sabri harus memanfaatkan peluang yang ada padanya daripada situasi politik unik yang dialami Malaysia sejak setahun lalu untuk melaksanakan lebih banyak pembaharuan bagi mengukuhkan sistem demokrasi negara dalam baki penggalnya.

“Dalam tempoh 12 bulan lepas, di mana wujud persefahaman rasmi antara kerajaan dan pembangkang, pelbagai reformasi perundangan – termasuk pindaan Perlembagaan Persekutuan – telah direalisasikan. Situasi sedemikian tidak pernah dinikmati oleh mana-mana pentadbiran terdahulu.

“Jika Datuk Seri Ismail Sabri berani melawan arus dan menangkis segala tekanan politik dalaman, beliau akan dapat melaksanakan reformasi yang memberi implikasi positif jangka panjang kepada negara dan masyarakat kita,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Loke menyenaraikan lima agenda yang boleh dilaksanakan tidak lama lagi untuk membina semula keyakinan orang ramai terhadap sistem politik Malaysia, dengan beberapa agenda itu secara prinsipnya telah pun diberi komitmen oleh Ismail Sabri.

Antara agenda yang disenaraikan ialah menghadkan tempoh jawtatan Perdana Menteri kepada maksimum 10 tahun, menggubal undang-undang pendanaan politik, Dana Pembangunan Kawasan Pilihan Raya, dan Akta Parlimen Jangka Tetap, dan meminda Perlembagaan Persekutuan untuk memisahkan kuasa peguam negara dan pendakwa raya.

“Banyak lagi pembaharuan yang perlu dilaksanakan pada masa hadapan bagi membina kekuatan sistem pentadbiran negara kita.

“Saya yakin semua rakyat Malaysia mengimpikan Malaysia yang maju dengan memberi tumpuan kepada prinsip doktrin pengasingan kuasa bagi memastikan kedaulatan undang-undang sentiasa terjamin dan sistem kehakiman bebas daripada sebarang pengaruh luar.

“Dalam semangat Hari Kebangsaan, marilah kita sama-sama berdiri teguh di bawah panji Jalur Gemilang dan melupakan sementara bendera parti masing-masing untuk mencapai had yang lebih tinggi demi kepentingan negara,” katanya.

Ismail Sabri telah berada di bawah tekanan hebat oleh partinya, UMNO – di mana beliau adalah naib presiden – supaya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan lebih awal.

Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilihat menimbulkan kemarahan perwakilan UMNO pada Taklimat Khas Presiden, 27 Ogos lalu untuk merayu Ismail Sabri supaya memenuhi kehendak parti, di tengah-tengah cemuhan besar-besaran daripada ahli UMNO yang hadir apabila nama Ismail Sabri disebut.

Ismail Sabri baru-baru ini mengakui beliau berada dalam dilema sama ada PRU-15 perlu diadakan tahun ini atau 2023, selain memastikan kemenangan UMNO dan gabungan Barisan Nasional (BN).

Beliau menegaskan bahawa menyelesaikan isu domestik seperti skandal kapal tempur pesisir pantai (LCS) Kementerian Pertahanan – yang membabitkan ahli partinya – dan pelaksanaan gaji minimum lebih diutamakan berbanding pilihan raya, menunjukkan tarikh PRU-15 mungkin lebih jauh.

Sebaliknya, Ahli Parlimen Bera itu berkata beliau juga sedang mempertimbangkan amaran Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) bahawa pertumbuhan ekonomi tidak akan kukuh pada 2023, dan oleh itu adalah tidak bijak untuk mengadakan pilihan raya semasa kemelesetan ekonomi.

Berita berkaitan
Bukit Aman siasat ugutan bunuh PM tular dalam TikTok
November 26, 2023· Politik
MPT Bersatu tolak keputusan Muhyiddin tak pertahankan jawatan Presiden
November 24, 2023· Politik
Tiada laporan polis diterima berhubung rakaman tular perbualan lucah
November 17, 2023· Politik
Sebelum jadi PM semua nak reform, bila dah jadi PM lagi teruk: Dr Mahathir
November 13, 2023· Politik
Popular
Laporan Wahab dakwa Agus buat gangguan seksual disiasat polis
December 1, 2023
Penganggur didakwa edar dadah Methamphetamine lebih 10 kg
December 1, 2023
Banjir di Johor: 538 orang dipindahkan ke PPS, paras sungai naik
December 1, 2023
Bekas ADUN DAP disabit kes rogol lantik Hisyam Teh ketuai pasukan pembelaan
December 1, 2023
Lagi Isu semasa terkini
Laporan Wahab dakwa Agus buat gangguan seksual disiasat polis
9 jam lalu · Isu semasa
Banjir di Johor: 538 orang dipindahkan ke PPS, paras sungai naik
16 jam lalu · Isu semasa
Penganggur didakwa edar dadah Methamphetamine lebih 10 kg
16 jam lalu · Isu semasa
Bekas ADUN DAP disabit kes rogol lantik Hisyam Teh ketuai pasukan pembelaan
16 jam lalu · Isu semasa
SPR jangka 70 peratusan keluar pengundi pada PRK Kemaman esok
16 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] UMNO sepatutnya tadbir negara bersama PN, bukan dengan DAP
11 jam lalu
[VIDEO] Litar lumba projek terbengkalai BN, bukan projek Sanusi
21 jam lalu

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok