Ismail Sabri masuk pejabat TPM ketika Zahid belum ucap tahniah

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

Selepas kontroversi keputusan Majlis Tertinggi (MT) UMNO pada Rabu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjejak kaki masuk pejabat Timbalan Perdana Menteri di Perdana Putra hari ini dan memulakan tugasnya pemimpin nombor dua dalam pentadbiran kerajaan.

Ismail Sabri memulakan tugasnya walaupun Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi masih belum sehingga hari ini mengucapkan tahniah ke atas lantikan tersebut yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini.

Bersut serba biru, ketibaan Ismail Sabri di perkarangan Kompleks Perdana Putra pada jam 10 pagi disambut Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Timbalan Ketua Setiausaha Kanan Jabatan Perdana Menteri (JPM) Datuk Jamil Rakon.

Ismail Sabri, 61, dilantik sebagai timbalan perdana menteri pada Rabu lalu selain dikekalkan memegang portfolio Menteri Kanan Pertahanan.

Ismail Sabri mengimbas kad perakam waktu sebelum memasuki pejabatnya di Aras 4 dan kemudian menandatangani Buku Selamat Datang, diikuti bacaan doa yang dipimpin oleh Pegawai Integriti JPM Muhd Redza Ahmad.

Beliau kemudiannya menghadiri Sidang Darurat Majlis Keselamatan Negara (MKN) secara maya bersama Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Perdana Putra menempatkan pejabat-pejabat utama dalam pentabiran negara seperti Pejabat Perdana Menteri dan Pejabat Ketua Setiausaha Negara.

POPULAR