Ismail Sabri hanya ‘poster boy’, perlu akur jika UMNO ada calon PM lain

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hanya sekadar menjadi ‘poster boy’ dan masih perlu akur kepada keputusan UMNO jika mempunyai calon Perdana Menteri (PM) yang lain, kata Tengku Razaleigh Hamzah.

Veteran UMNO itu berkata, tidak mempunyai masalah dengan pemilihan Naib Presiden itu sebagai calon PM selepas pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) nanti tetapi Ismail Sabri tidak boleh menerimanya sebagai satu jaminan jawatan tersebut akan diserahkan kepada memandangkan pelbagai kemungkinan boleh berlaku.

“Baguslah, kerana dia sudah jadi Perdana Menteri, tetapi segala-galanya ditetapkan oleh parti.

“Kalau parti tetapkan calon si anu, si anu, dia (Ismail Sabri) kena ikut,” katanya dipetik laporan media hari ini.

UMNO mengumumkan minggu lalu Ismail Sabri sebagai ‘poster boy’ mereka yang juga calon PM selepas PRU-15 nanti.

Sementara itu, seorang penganalisis politik, James Chin yang merupakan Profesor pengajian Asia di Universiti Tasmania berkata pencalonan Ismail Sabri itu bukan jaminan jawatan PM akan diserahkan kepadanya selepas PRU-15.

Chin berkata Ismail Sabri mungkin terpaksa tunduk dengan tuntutan kumpulan Kluster Mahkamah, khususnya Datuk Seri Najib Razak dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang masing-masing berdepan puluhan pertuduhan di mahkamah.

“Saya tidak fikir Ismail Sabri akan menjadi PM selepas pilihan raya, melainkan dia bersetuju untuk mengalah dengan apa yang Najib (Datuk Seri Najib Razak) dan Zahid… apa yang semua kluster mahkamah mahu,” katanya dipetik laporan media.

“Jika dia (Ismail Sabri) bersama mereka, maka mereka mungkin mempertimbangkannya, tetapi sangat tidak mungkin,” tambah Chin.

Chin juga menegaskan bahawa janji-janji politik, tidak semestinya ditunaikan dengan mengambil contoh janji bekas PM Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menyerahkan kuasa kepada Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai PM sebelum ini.

BERITA BERKAIT
POPULAR