
Banjir kilat di beberapa kampung dan taman perumahan di daerah Yan di Kedah berpunca daripada kepala air yang turun dari Gunung Jerai pada 18 Ogos lalu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad yang turun meninjau kesan fenomena kepala air di Pusat Rekreasi Titi Hayun, Yan menggesa supaya aktiviti pemujaan dan khurafat dihentikan di Kawasan Gunung Jerai.
Jelasnya, perbuatan tersebut boleh merosakkan akidah umat Islam dan mengundang bala daripada Allah bukan sahaja kepada pelaku tetapi penduduk sekitar kawasan itu.
“Kita harapkan benda ini terhenti kerana aktiviti sedemikian akan mengundang bala daripada Allah bukan sahaja kepada pelaku tetapi juga kepada penduduk di kawasan itu.
“Sebab itu ada sahabat tanya kepada Nabi Muhammad SAW, adakah kami orang baik akan kena juga kalau datang bala dan Nabi Muhammad kata ya termasuk juga kamu.
“Cuma esok bila kamu dibangkitkan, mereka akan dibangkitkan berdasarkan kepada niat mereka iaitu maksudnya orang baik akan dibangkitkan dalam keadaan baik manakala orang yang buat benda tidak baik, mereka akan terima hukuman,” katanya kepada wartawan selepas lawatan di Yan.
Berhubung langkah untuk menyekat aktiviti sedemikian berterusan, Idris berkata jabatan agama negeri telah dan akan terus bertindak dalam menangani perbuatan terbabit.
Selain itu, katanya, pihaknya yakin ramai kalangan alim ulama di negeri itu akan membantu memainkan peranan untuk mengekang perbuatan khurafat di gunung berkenaan.
Pada 22 Ogos lalu, media melaporkan penduduk yang tinggal berhampiran Gunung Jerai berharap segala aktiviti pemujaan dan khurafat di kawasan Gunung Jerai dapat dihentikan dan dibersihkan.
Malah, sebilangan penduduk dilaporkan beranggapan bencana yang melanda daerah Yan dan Kuala Muda itu adalah ‘amaran’ kepada mereka yang terbabit supaya menghentikan perbuatan berkenaan.
Aktiviti seperti bertapa dan memuja nombor ekor selain mandi bunga dikatakan banyak dilakukan golongan tidak bertanggungjawab, terutama di Telaga Tok Sheikh di puncak Gunung Jerai.
Dalam kejadian fenomena kepala air pada 18 Ogos lalu, enam mangsa terkorban dihanyutkan arus deras.
Banjir lumpur itu turut menjejaskan kira-kira 800 rumah di Yan dan 200 di daerah Kuala Muda.