
Isteri Datuk Seri Najib Razak, Datin Seri Rosmah Mansor turut hadir di Mahkamah Persekutuan hari ini (23 Ogos 2022). - Gambar Heikal Rosli/Agenda Daily
Pendakwa Raya ad hoc Datuk V Sithambaram hari ini (23 Ogos 2022) menegaskan bahawa Mahkamah Persekutuan “bukan sarkas”, selepas pihak pembelaan memohon mengemukakan peguam lain untuk berhujah bagi permohonan meminta Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat menarik diri.
Terdahulu, peguam Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin telah meminta untuk berhujah bagi pihak Najib, selepas mahkamah sebelum ini menolak tawaran Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah untuk menangguhkan perbicaraan selama “24 jam” untuk membuat persiapan yang perlu bagi permohonan Najib itu.
Difahamkan, Firoz Hussien bukanlah seorang peguam bela yang direkodkan dalam perbicaraan rayuan semasa. Hisyam Teh Poh Teik adalah satu-satunya peguam yang masih dalam rekod mahkamah sebagai peguam utama Najib.
Sithambaram, yang mengetuai pihak pendakwaan, kemudian membantah ketika Firoz Hussein berjalan dari galeri awam ke arah tempat pembelaan berada.
“Ini adalah mahkamah undang-undang, bukan sarkas. Kita tidak boleh menyuruh orang keluar masuk, mesti ada kesopanan,” katanya.
Tengku Maimun kemudian berkata tidak ada keperluan untuk hujahan lanjut dibuat mengenai permohonan beliau menarik diri, kerana Hisyam Teh telah mengemukakan hujah yang komprehensif sebelum ini.
Dia kemudian memerintahkan mahkamah berehat untuk memutuskan permohonan itu.
Pada sesi awal rayuan terakhir hari ini, Najib memfailkan permohonan supaya Tengku Maimun, menarik diri daripada mendengar rayuan berkenaan.
Pada jam 9.45 pagi tadi Hisyam Teh memberitahu mahkamah bahawa perayu (Najib) telah memfailkan permohonan lewat malam tadi untuk memohon Ketua Hakim Negara menarik diri daripada menjadi panel.
Beliau berkata salinan permohonan telah diserahkan kepada pihak pendakwaan.
Najib memberi alasan suami Tengku Maimun, Datuk Zamani Ibrahim, telah menyatakan “sentimen negatif” dalam catatan Facebook berikutan Pilihan Raya Umum Ke-14.
Najib telah mendakwa Zamani akan mempengaruhi pemikiran Tengku Maimun tentang dakwaan beliau bersalah kerana sifat hubungan suami isteri mereka.
Najib didapati bersalah menyalahgunakan kuasa dan menyeleweng RM42 juta dana SRC International dan dijatuhi hukuman penjara 12 tahun, dan denda RM210 juta oleh Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali.
Bekas perdana menteri itu telah merayu sabitan dan hukumannya di Mahkamah Persekutuan selepas Mahkamah Rayuan pada 8 Disember tahun lalu sebulat suara mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi.