Ini bukan tempoh bulan madu, titah Sultan Johor

Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mengingatkan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) bahawa tugas mereka sudah pun bermula dari saat mengangkat sumpah jawatan pada hari ini, 26 Mac 2022.

Baginda menegaskan Ahli Exco perlu kekal fokus dalam melaksanakan janji-janji atau ikhtiar yang telah dibuat dalam kempen pilihan raya mengikut portfolio masing-masing, dan sentiasa bertanggungjawab, jujur dan amanah.

“Jalankan tanggungjawab dengan penuh amanah. Tugas anda sudah pun bermula dari saat ini. Kepentingan negeri dan rakyat mesti diutamakan. Bekerjasamalah dengan semua pihak.

“Jangan lupa anda juga adalah wakil rakyat di kawasan masing-masing. Rajin-rajinlah balik dan bertemu mereka, bukan hanya muncul masa kempen atau terlalu selesa di pejabat sahaja. Ini bukan lagi masa ‘berbulan madu’.

“Masa kempen kamu telah berjanji kepada mereka, sekarang inilah masa untuk tunaikan sebaiknya, bekerja dengan penuh dedikasi. Saya akan sentiasa memantau prestasi semua Exco-Exco.

“Semua Exco sudah diberikan portfolio masing-masing. Jalankan tugas anda dengan sebaiknya jika tidak mahu diganti oleh calon lain,” titah baginda.

Terdahulu baginda menerima menghadap dan menyaksikan istiadat mengangkat sumpah jawatan 10 Ahli Exco Negeri di Balai Mengadap, Istana Bukit Serene.

Hadir sama, Tunku Mahkota Johor Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim.

Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor yang mengangkat sumpah ialah Datuk Zahari Sarip (Buloh Kasap); Datuk Mohd Jafni Md Shukor (Bukit Permai); K. Raven Kumar (Tenggaroh); Khairin Nisa Ismail (Serom); Mohd Hairi Mad Shah (Larkin) dan Mohd Fared Mohd Khalid (Semerah).

Turut mengangkat sumpah Ling Tian Soon (Yong Peng), Lee Ting Han (Paloh), Mohamad Fazli Mohamad Salleh (Bukit Pasir) dan Norliza Noh (Johor Lama).

Datuk Onn Hafiz Ghazi yang juga ADUN Machap mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Johor Ke-19 pada 15 Mac lalu.

Lima daripada Ahli Exco terbabit berusia di bawah 40 tahun.

Berikut adalah senarai Ahli Exco dan portfolio masing-masing:

1. Datuk Onn Hafiz Ghazi (N26 Machap) 44 Tahun

  • Pengerusi Jawatankuasa Hasil Bumi, Pentadbiran, Kewangan, Perancangan dan Pembangunan Ekonomi.
  • Pendidikan:Ijazah Perakaunan,University of Hertfordshire.
  • Pengalaman:ADUN Layang-Layang (2018-2022) Setiausaha Politik kepada Menteri Pertahanan (2013-2018).

2. Datuk Zahari Sarip (N01 Buloh Kasap) 55 Tahun

  • Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar.
  • Pendidikan: Diploma Pengajian Melayu, Maktab Perguruan Tengku Ampuan Afzan.
  • Pengalaman: ADUN Buloh Kasap (2018-2022) Pegawai Khas Menteri, Kementerian Kesihatan Malaysia (2013-2017) Ahli Dewan Negara (2017-2020) Guru Kementerian Pelajaran Malaysia (1989-2013).

3. Datuk Mohd Jafni Md Shukor (N50 Bukit Permai) 50 Tahun

  • Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan
  • Pendidikan:Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan Open University Malaysia Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Open University Malaysia.
  • Pengalaman:Ahli Majlis (Ketua Whip) Majlis Perbandaran Kulai (2014-2022) Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras Khas DUN Bukit Batu (2020-2022).

4. Raven Kumar a/l Krishnasamy (N33 Tenggaroh) 40 Tahun

  • Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya.
  • Pendidikan LBB (Hons) University of Sheffield.
  • Pengalaman:ADUN Tenggaroh (2013-2022) Pegawai Khas Menteri Besar Johor (2020-kini).

5. Khairin-nisa Ismail (N11 Serom) 58 Tahun

  • Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
  • Pendidikan:Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang, Universiti Islam Antarabangsa.
  • Pengalaman:Peguam Khairin Nisa & Co (1991-kini) Ahli Majlis Daerah Muar (2007) Ahli Majlis Daerah Tangkak (1999-2004).

6. Mohd Hairi Mad Shah (N44 Larkin) 37 Tahun

  • Pengerusi Jawatankuasa Belia,Sukan,Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia.
  • Pendidikan:Executive Masters in Business Management, Universiti Malaysia Pahang (Dalam Pengajian)Executive Bachelor Business Management, Hambra Edu (PSMB) Diploma Business Management, Scandinavia.
  • Pengalaman:Ahli Majlis – Majlis Bandaraya Johor Bahru Ahli Lembaga Pengurus – Majlis Sukan Negeri Johor Ahli Lempaga Pengarah – Yayasan Pelajaran Mara.

7. Mohd Fared Mohd Khalid (N17 Semerah) 43 Tahun

  • Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama.
  • Pendidikan:Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang, Universiti Kebangsaan Malaysia Diploma Pentadbiran Kehakiman & Guaman Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia.
  • Pengalaman:Peguam Tetuan Fared Khalid & Co (2015-2022) Peguam Tetuan Imran Sahareen & Co (2013-2015) Peguam Tetuan SK Koh & Co (2005-2013) Peguam Tetuan Iqbal Hakim Sia & Voo (2003-2005).

8. YB Ling Tian Soon (N19 Yong Peng) 38 Tahun

  • Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan.
  • Pendidikan:Diploma Pentadbiran Perniagaan.
  • Pengalaman:Setiausaha Politik Menteri Pengangkutan Malaysia (2020).

9. Lee Ting Han (N30 Paloh) 31 Tahun

  • Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna.
  • Pendidikan:Ijazah Sarjana Undang-Undang Komersial, University of Cambridge Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang, Universiti Malaya.
  • Pengalaman:Pegawai Tugas-Tugas Khas Menteri, Kementerian Pengangkutan Malaysia (2020-2022) Peguam, Rahmat Lim & Partners (2018-2020) Pegawai Tadbir, Jabatan Perdana Menteri (2015-2017).

10. Mohamad Fazli Mohamad Salleh (N08 Bukit Pasir) 36 Tahun.

  • Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur
  • Pendidikan:Sarjana Sains Kejuruteraan Elektronik, Universiti Teknikal Malaysia (UTEM), Melaka Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan
  • Elektrik Elektronik, Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) SPM Sains Tulen, Maktab Rendah Sains Mara.
    Pengalaman:Jurutera, Tenaga Nasional Berhad (2010-2022).

11. Norliza Noh (N37 Johor Lama) 39 Tahun

  • Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi.
  • Pendidikan:Ijazah Sarjana Teknologi Maklumat, Universiti Kebangsaan Malaysia (Dalam Pengajian) Ijazah Sarjana Muda Teknologi Maklumat, Binary University College International.
  • Pengalaman:Ahli Majlis Daerah Kota Tinggi (2020-2022) Pengerusi KOSPEN Daerah Kota Tinggi (2020-2022) Perunding Pendidikan Awal Kanak-Kanak (2018-kini)
    Penyelia Asrama (2009-2017).

 

BERITA BERKAIT
POPULAR