Ini antara apa yang dinyatakan hakim ketika menolak rayuan Najib

Umum mengetahui bahawa Mahkamah Rayuan hari ini menolak permohonan Datuk Seri Najib Razak untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara serta denda yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai tahun lalu.

Tiga hakim Mahkamah Rayuan di Putrajaya sebulat suara menolak rayuan Najib. Hakim yang bersidang hari ini dipengerusikan Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil, bersama Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera

Antara yang menjadi perhatian hangat dalam penghakiman 54 muka surat itu ialah tindakan Najib dalam kes berkaitan dana SRC International Sdn Bhd (SRC) itu disebut sebagai bukan demi kepentingan negara, sebaliknya hanya memalukan negara.

Pernyataan itu dikeluarkan susulan bekas Perdana Menteri itu dalam pembelaannya mendakwa tindakan beliau adalah bagi kepentingan nasional.

Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil juga berkata Najib terlibat secara aktif dalam memastikan RM4 bilion pinjaman Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) kepada SRC International disalurkan kepada syarikat itu, tetapi selepas dana itu dikeluarkan, perayu (Najib) tidak mengambil peduli mengenai dana tersebut.

Memetik Bernama, Hakim Abdul Karim berkata bekas Perdana Menteri itu tidak menyoal SRC International mengenai apa yang berlaku kepada dana itu, mahupun bagaimana ia digunakan dan bagi tujuan apa.

“Malah, beliau mengarahkan Menteri Kewangan kedua ketika itu (Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah) supaya tidak mengambil tahu hal SRC.

“Kelakuan perayu boleh menunjukkan hanya satu perkara, iaitu sebaik sahaja dana itu telah diperoleh SRC International, yang perayu mempunyai kawalan penuh, beliau bebas menggunakannya untuk kepentingan peribadi.

“Ini ditunjukkan melalui pengaliran RM42 juta daripada SRC International ke dalam akaun peribadinya. Ini bukanlah sesuatu yang boleh dikatakan telah dilakukan demi kepentingan negara.

“Tiada kepentingan negara di sini, cuma memalukan negara,” katanya.

Hakim Abdul Karim berkata Najib mengambil bahagian dalam dua keputusan Kabinet untuk mengeluarkan dua jaminan kerajaan kepada KWAP supaya pinjaman yang diberikan oleh KWAP kepada SRC tidak boleh dipertikaikan.

Beliau berkata keterangan menunjukkan perayu bukan sahaja hadir tetapi mempengerusikan dua mesyuarat Kabinet yang diadakan pada 17 Ogos 2011 serta 8 Februari 2012, dan dengan itu terlibat dalam keputusan Kabinet untuk meluluskan jaminan kerajaan tersebut yang memihak kepada KWAP.

Hakim berkata perkara itu disahkan oleh Tan Sri Mazidah Abdul Majid (saksi pendakwaan ke-40) yang ketika itu merupakan Timbalan Ketua Setiausaha (Kabinet) di Jabatan Perdana Menteri.

“Menurut Mazidah, perayu juga tidak mengisytiharkan kepentingannya dalam kedua-dua keputusan Kabinet, tidak juga menarik diri daripada perbincangan berhubung dua perkara ini dalam agenda, dan tidak juga meninggalkan mesyuarat.

“Perbuatan sebegitu akan menghalang perayu dan akan menunjukkan ke arah pertuduhan di bawah Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009,” kata Hakim Abdul Karim.

Hakim Abdul Karim juga bersetuju dengan hakim perbicaraan bahawa terdapat bukti kukuh yang jelas menunjukkan kepentingan peribadi perayu dalam keputusan Kabinet untuk mengeluarkan dua jaminan kerajaan itu.

Beliau berkata berkata hakim Mahkamah Tinggi membuat kesimpulan daripada keterangan mengenai peranan dan penglibatan perayu dalam penubuhan SRC, geran penubuhan awal, pinjaman KWAP, pengaturan jaminan kerajaan serta struktur pemilikan dan tadbir urus SRC, dan kawalan ke atas dana SRC dan pengaliran sebahagian daripada dana SRC ke dalam akaun peribadi perayu membuktikan fakta bahawa perayu mempunyai kepentingan dalam SRC yang melebihi kepentingan jawatan awamnya.

“Kami mendapati tiada sebab yang kukuh untuk tidak bersetuju dengan penemuan itu,” katanya sambil menambah bahawa panel hakim juga bersetuju dengan keputusan hakim Mahkamah Tinggi bahawa Najib gagal menunjukkan tindakannya yang membawa kepada keputusan Kabinet untuk memberikan dua jaminan kerajaan dilakukan demi kepentingan Kerajaan Malaysia.

Hakim itu berkata dalam rayuan ini, penglibatan perayu dalam jenayah itu dapat dilihat sejak penubuhan SRC International sehinggalah kelulusan pinjaman KWAP yang dijamin oleh jaminan kerajaan.

Beliau berkata Najib terlibat dalam kelulusan itu, sehingga sebahagian daripada dana SRC International berjumlah RM42 juta dimasukkan ke dalam akaun banknya untuk kepentingan dan faedah peribadinya.

Oleh itu, katanya panel hakim mendapati Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali adalah betul sepenuhnya dalam mendapati pihak pendakwaan telah membuktikan pertuduhan mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009 tanpa keraguan munasabah.

“Pihak pendakwaan telah mewujudkan kes prima facie dan kes pembelaan telah dipertimbangkan sepenuhnya oleh yang arif hakim perbicaraan.

“Akhirnya, hakim perbicaraan berpuas hati, sama seperti kami, bahawa pihak pendakwaan telah membuktikan pertuduhan melampaui keraguan munasabah. Secara keseluruhan, kami dapati sabitan itu selamat,” katanya.

Hakim Abdul Karim berkata Najib tidak mengembalikan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd yang dikreditkan secara salah ke akaunnya, sebaliknya telah menggunakannya.

Menurutnya perkara lazim bagi mana-mana pemegang akaun yang tersilap atau tidak sengaja menerima dana ke dalam akaunnya adalah untuk memulangkannya dan memperbetulkan kesilapan itu, tetapi Najib tidak melakukan sedemikian apabila RM42 juta itu dipindahkan ke akaunnya.

Beliau berkata Najib tidak pernah membuat aduan dengan pihak bank apabila dana itu dikreditkan secara salah ke akaunnya tetapi beliau agak berpuas hati apabila menerimanya dan menggunakan dana itu sesuka hatinya.

“Tidak pernah ditunjukkan penggunaan dana itu ada kaitan dengan SRC International atau perniagaannya. Hakim perbicaraan (Mohd Nazlan Mohd Ghazali) menganggap pemindahan dana itu ke dalam akaunnya mesti dilakukan dengan pengetahuan perayu kerana jika tidak, beliau tidak akan membelanjakan RM42 juta tersebut.

“Oleh itu, keseluruhan keterangan mengukuhkan kesimpulan hakim bahawa perayu pasti mempunyai pengetahuan mengenai RM42 juta yang dipindahkan ke dalam akaunnya,” katanya sambil menambah bahawa mahkamah juga bersetuju dengan penemuan hakim perbicaraan bahawa bukti yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan jelas menunjukkan bahawa pergerakan RM27 juta, RM5 juta dan RM10 juta daripada akaun bank SRC adalah tindakan penyalahgunaan yang tidak jujur.

Hakim Abdul Karim juga berkata RM42 juta itu dimasukkan ke dalam akaun bank Najib dan tidak pernah dialihkan ke mana-mana akaun lain dan RM42 juta itu digunakan oleh perayu (Najib).

Sebaik sahaja dana berkenaan diterima ke dalam akaun bank perayu, beliau menggunakan dana tersebut dengan mengeluarkan beberapa cek.

“Dalam keadaan ini, perayu sudah mengetahui dana yang dikreditkan ke dalam akaun banknya, dan mengikut undang-undang, beliau bertanggungjawab dan akan dipertanggungjawab terhadap aktiviti dalam akaunnya,” kata hakim.

Hakim juga bersetuju dengan hakim perbicaraan bahawa semua elemen penting mengenai penyelewengan harta yang diamanahkan oleh perayu telah digunakan dengan jelas.

Beliau berkata keterangan jelas menunjukkan perayu telah menyeleweng RM42 juta, subjek tiga pertuduhan pecah amanah (CBT) dan memindahkan untuk kegunaan beliau sendiri serta telah menyeleweng secara tidak jujur.

Katanya walaupun perayu berpendapat bahawa dana itu digunakan untuk program tanggungjawab sosial korporat (CSR), hakikatnya dana tersebut telah digunakan untuk kepentingan peribadinya, secara langsung dan tidak langsung, dan dalam beberapa kes untuk tujuan politik yang berkaitan dan dikira untuk memajukan kerjaya politik perayu.

Hakim Abdul Karim berkata mahkamah juga bersetuju dengan hakim Mahkamah Tinggi bahawa Najib menguruskan hal ehwal SRC International dan oleh sebab itu beliau telah diamanahkan menjaga dan melindungi aset serta harta syarikat.

“Ini terbukti selepas pelantikannya sebagai Perdana Menteri dan atas kedudukan itu, bekas perdana menteri itu telah mengeluarkan arahan kepada pemegang saham yang perlu dipatuhi oleh Lembaga Pengarah SRC.

“Peranan perayu itu secara rasminya berkuat kuasa setelah beliau dilantik sebagai Penasihat Emeritus syarikat dengan meluluskan pindaan terhadap Tataurusan Persatuan yang membolehkan jawatan itu diwujudkan.

“Pelantikan ini bagi membolehkan beliau mengarahkan Lembaga Pengarah SRC untuk bertindak mengikut arahannya.

“Atas dasar itu, pelbagai peranan perayu iaitu sebagai Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan Penasihat Emeritus, jelas menunjukkan beliau telah mengarah dan mengawal minda SRC,” katanya.

Najib, 68, adalah bekas Perdana Menteri dan Menteri Kewangan yang pertama di negara ini ditahan, dituduh di mahkamah dan dijatuhi hukuman penjara.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, pada 28 Julai 2020, menjatuhkan hukuman penjara 72 tahun dan denda RM210 juta kepada Najib selepas mendapati bersalah atas semua tujuh pertuduhan membabitkan pecah amanah, pengubahan wang haram dan salah guna kedudukan.

Bagaimanapun, Najib hanya akan menjalani hukuman penjara 12 tahun setelah Hakim Mohd Nazlan memerintahkan semua hukuman penjara berjalan serentak.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Perdana Menteri, Presint 1, Putrajaya, antara 17 Ogos 2011 dan 8 Februari 2012.

BERITA BERKAIT
POPULAR