
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
Penurunan kes positif Covid-19 hari ini berbanding semalam tidak semestinya kekal, malah ia boleh meningkat semula susulan trend kenaikan yang mendadak secara berkala sekarang ini.
Kes baharu positif Covid-19 dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi turun mendadak, daripada 9,020 kes yang dilapor pada Sabtu, kepada 6,999 kes.
Sementara kematian yang dicatatkan hari ini juga turun kepada 78 kes berbanding 93 yang direkodkan pada Sabtu.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, nilai Rt negara kini adalah 1.16 dan kenaikan 1,000 hingga 2,000 kes positif baharu sehari adalah tidak mustahil.
“Kita telah melihat jumlah kes kematian tertinggi harian iaitu sebanyak 98 kes pada 29 Mei 2021 akibat Covid-19. Situasi ini juga mungkin akan berterusan dan tidak mustahil boleh terus meningkat lagi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut menjelaskan jumlah katil di unit rawatan rapi (ICU) di hospital-hospital Covid-19, dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 semakin berkurangan dan berkemungkinan tidak mencukupi.
KKM juga katanya, telah memberi amaran kemungkinan berlaku situasi di mana doktor akan terpaksa membuat pilihan sukar untuk mengutamakan katil ICU bagi pesakit yang mempunyai potensi sembuh yang lebih tinggi berbanding pesakit yang potensi sembuhnya adalah lebih rendah.
“Ini adalah situasi sukar yang mendepani kita semua, dan KKM ingin menyeru semua pihak agar kita sama-sama berganding bahu bagi hadapi sekarang.
“Semua pihak perlu memainkan peranan dan bertanggungjawab, tidak kira kerajaan, agensi-agensi berkaitan dan juga rakyat secara keseluruhannya,” katanya.
Beliau turut mengalu-alukan keputusan kerajaan melaksanakan beberapa langlah ‘total lockdown’ sebagaimana yang dinyatakan Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sidang media bersamanya hari ini.
Dr Noor Hisham juga sekali lagi mengingatkan orang ramai mematuhi prosedur operasi standard (SOP), termasuk wajib memakai satu lapisan pelitup muka perubatan sekiranya berada di luar rumah.
“Sangat digalakkan mengenakan pelitup muka berganda terutama di tempat awam yang sesak dan kurang pengudaraan, iaitu satu pelitup muka perubatan tiga lapis di bahagian dalam dan satu pelitup muka fabrik di luar.
“Dinasihatkan juga untuk mengenakan pelindung muka (face shield) bersekali dengan pelitup muka berganda dikawasan awam berisiko tinggi untuk perlindungan tambahan, seperti di hospital atau klinik, kawasan awam yang sesak dan kawasan kurang pengudaraan,” katanya.
Dr Noor Hisham juga berkata jumlah saringan Covid-19 secara harian juga bertambah kepada 91,608 bagi tempoh 23 Mei hingga 29 Mei, berbanding 63,925 ujian sebelum 14 Mei lalu.
Katanya, penggunaan Ujian Rapid Test Kit-Antigen (RTK-Ag) sebagai ujian saringan Covid-19 membantu bagi mengesan wabak Covid-19 dengan cepat dalam jumlah yang besar selain penyumberluaran ujian saringan Covid-19 ke makmal swasta.