
Duta Besar Republik Indonesia ke Malaysia Hermono.
Indonesia menghentikan menerima permintaan baharu pekerja dari negaranya di semua sektor buat masa ini, kata Duta Besar Republik Indonesia ke Malaysia Hermono, hari ini.
“Kami telah menghentikan sementara pengambilan pesanan kerja baharu (untuk pekerja Indonesia).
“Bagaimanapun, pesanan kerja yang telah diluluskan boleh diteruskan,” katanya menurut laporan The Star.
Menurut sumber industri, kemungkinan salah satu sebab tindakan itu diambil ialah penggunaan Sistem Pembantu Rumah Dalam Talian (SMO) yang sepatutnya tidak terpakai kepada pembantu rumah Indonesia berikutan memorandum persefahaman (MOU) yang ditandatangani pada April.
Pada 1 April, Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan dan Menteri Tenaga Kerja Indonesia Ida Fauziyah menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) di Jakarta mengenai Penggajian dan Perlindungan Pekerja Rumah Tangga Indonesia.
Di bawah MoU itu, Indonesia menetapkan pengambilan pekerja asing hanya dilakukan melalui apa yang dipanggil Sistem Satu Saluran (OCS).
OCS telah dipersetujui dalam memorandum untuk menyaring majikan dan memastikan hanya mereka yang layak boleh mengambil pekerja domestik Indonesia pada gaji bulanan minimum RM1,500.
Antara perkara lain yang digariskan dalam MoU itu ialah kelayakan cuti tahunan, hak untuk berkomunikasi, dan larangan menahan pasport pembantu rumah.
Sebelum ini, ejen bebas telah mengiklankan pekerja rumah Indonesia dan menawarkan SMO Jabatan Imigresen, yang membolehkan penukaran visa pelancong warganegara dari beberapa negara, termasuk Indonesia, kepada permit kerja.