
Pulau Sebatik yang dikongsi bersama Malaysia dan Indonesia.
Dua rakyat Malaysia dan seorang warganegara China ditahan oleh pihak berkuasa Indonesia kerana disyaki mengintip.
Ketiga-tiga mereka sedang mencari lokasi untuk membina jambatan yang menghubungkan Tawau ke Pulau Sebatik, sebahagiannya di Indonesia dan Malaysia.
Ketiga-tiga lelaki itu ditahan bersama tiga warga Indonesia selepas didapati memiliki gambar sensitif pangkalan tentera laut di pulau itu, menurut laporan media Indonesia.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan pada Sabtu (22 Julai) oleh pegawai Imigresen Nunukan, Saut Dompak, keenam-enam lelaki itu mendakwa sedang mengkaji kemungkinan membina jambatan dari Sebatik ke Tawau.
Menurut laporan berita, seorang daripada rakyat Malaysia adalah jurutera manakala warga China itu dikatakan memasuki Nunukan di utara Kalimantan dengan visa pelancong dan melintasi sempadan pada 20 Julai.
Seorang daripada warga Indonesia yang ditahan dilaporkan mempunyai dua set dokumen pengenalan diri, pasport Indonesia dan kad pengenalan Malaysia.
Saut berkata bantuan pejabat konsul jeneral Malaysia di Pontianak (Kalimatan) telah diminta untuk mengesahkan kesahihan kad pengenalan Malaysia.
Siasatan awal menunjukkan warga Indonesia terbabit telah menjemput warga China dan Malaysia untuk melihat kemungkinan membina jambatan dari Tawau ke Sebatik pada 20 Julai.
Bagaimanapun, pegawai tentera laut Indonesia menemui gambar kawasan sensitif pos sempadan dan ibu pejabat marin mereka di Sebatik.
Pegawai terbabit kemudian menyerahkan lelaki itu kepada pegawai Imigresen di Nunukan untuk siasatan lanjut pada 21 Julai.
Saud berkata, suspek mendakwa hanya mencari lokasi terdekat untuk membina jambatan dari Tawau ke Sebatik di Malaysia.
Warganegara Malaysia dan China itu ditahan selama 30 hari di Pusat Tahanan Imigresen di Nunukan dan akan menghadapi pertuduhan kerana melanggar permit visa pelancong di bawah Undang-undang Imigresen Indonesia kerana mereka sepatutnya masuk dengan visa perniagaan untuk tujuan mereka yang dinyatakan.