Individu penganjur program Najib dan PN dikompaun di Melaka

Tiada aktiviti berbentuk perhimpunan berkaitan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka melibatkan dua bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Najib Tun Razak, menurut Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini.

Menurut KKM dalam kenyataan di sini, hasil siasatan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Melaka mendapati lawatan Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) dan Najib selaku Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN) ke negeri itu baru-baru ini lebih berbentuk ‘walkabout’ atau jelajah mesra.

Bagaimanapun, menurut KKM berdasarkan pemantauan dan siasatan yang dijalankan oleh pegawai diberi kuasa di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 [Akta 342], kompaun telah dikeluarkan kepada penganjur program yang melibatkan kehadiran kedua-dua pemimpin itu berikutan kegagalan pihak penganjur memastikan pematuhan penjarakan fizikal oleh orang ramai yang hadir ke program tersebut.

“Satu kompaun RM20,000 telah ditawarkan kepada Perikatan Nasional (PN) Melaka sebagai penganjur perhimpunan yang melibatkan kehadiran Tan Sri Muhyiddin Yassin manakala kompaun RM4,000 telah dikeluarkan kepada individu yang bertindak sebagai penganjur program yang dihadiri oleh Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Tawaran kompaun tersebut dikeluarkan di bawah Peraturan 16 Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021,” menurut kenyataan itu.

Mengikut Akta 342 kegagalan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) seperti tiada penjarakan fizikal, tidak memakai pelitup muka dan menyediakan pendaftaran MySejahtera boleh dikenakan kompaun.

Kenyataan itu sebagai respons kepada isu tular di media sosial berkenaan kesalahan pelanggaran SOP berkaitan aktiviti PRN Melaka melibatkan Muhyiddin dan Najib.

Menurut KKM, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengeluarkan kompaun kepada mana-mana individu atau pertubuhan perbadanan yang melanggar mana-mana SOP Majlis Keselamatan Negara (MKN) Pelan Pemulihan Negara.

“Pihak KKM dan JKN Melaka dengan kerjasama PDRM akan terus memantau pematuhan SOP khususnya menjelang PRN Melaka sebagai langkah pencegahan daripada berlakunya penularan jangkitan COVID-19.

“KKM menasihati agar semua lapisan masyarakat terus patuh kepada SOP dan menjalankan peranan masing-masing dengan penuh tanggungjawab dalam memerangi pandemik Covid-19 di Malaysia,” katanya.

Pada 24 Okt lepas, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dalam satu kenyataan berkata sebarang aktiviti, perhimpunan atau majlis sosial berkaitan pilihan raya termasuk penganjuran majlis pelancaran jentera pilihan raya tidak dibenarkan berkuat kuasa 25 Okt hingga 27 Nov ini bagi mengurangkan risiko penularan jangkitan dan peningkatan kes mendadak Covid-19.

BERITA BERKAIT
POPULAR