Individu misteri hadiahkan motor berkuasa tinggi kepada Abang Viva

Seorang individu yang tidak mahu mendedahkan dirinya menghadiahkan Azwan Omar atau lebih dikenali sebagai Abang Viva sebuah motosikal berkuasa tinggi jenis Yamaha XJ6 Diversion.

Individu misteri tersebut menghadiahkan motor berharga kira-kira RM30,000 kepada Azwan yang disampaikan oleh pemilik kedai motosikal, ICITY Motorworld Sdn Bhd, Ernest Ng semalam.

Ng berkata, pihaknya diberi amanah untuk menyampaikan hadiah motor tersebut kepada Azwan.

“Beliau tidak mahu namanya didedahkan. Wakil penyumbang itu datang ke kedai untuk mencuba motosikal dan membelinya secara tunai untuk dihadiahkan kepada Azwan.

“Kami menguruskan segala kelengkapan, termasuk cukai jalan dan insuran serta menambah beberapa lagi aksesori kenderaan itu seperti topi keledar, jaket serta beg sandang,” katanya dipetik laporan media.

Sebelum ini, Azwan mengesahkan persetujuan untuk menerima hadiah sebuah kereta pacuan empat roda (4×4) daripada seorang ahli perniagaan.

Sementara itu, Azwan ketika dihubungi mengesahkan sudah menerima hadiah istimewa itu, petang semalam.

Beliau berterima kasih kepada penyumbang kenderaan itu dan menganggap ia sebagai sesuatu yang sangat bernilai.

“Saya lakukan kerja secara sukarela tanpa mengharapkan apa-apa habuan atau balasan. Namun, mungkin sudah ditakdirkan Allah saya menerima rezeki ini, Alhamdulillah.

“Menerusi sumbangan ini, ia memberi semangat kepada saya untuk terus berbakti kepada insan yang ditimpa musibah. Saya sangat berterima kasih kepada pihak yang menyumbang dan mendoakan rezeki mereka dilipat gandakan oleh Allah,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR