Individu lengkap vaksin di luar negara perlu ke PKD sahkan sijil

Semua individu yang telah lengkap menerima vaksin Covid-19 di luar negara perlu hadir ke Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) terdekat untuk tujuan pengesahan dan mengemas kini bagi mendapatkan sijil digital vaksinasi menerusi aplikasi MySejahtera.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Adham Baba berkata individu tersebut perlu membawa dokumen atau sijil sebagai bukti telah menerima suntikan vaksin di luar negara bagi tujuan penilaian ketulenan serta mengetahui jenis vaksin yang diterima.

“Selepas disahkan PKD, prosesnya ialah Jabatan Kesihatan Negeri akan hantar (maklumat dan data) ke Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Negara (CPRC) di Putrajaya dan pusat itu akan memaklumkan kepada MySejahtera untuk mengemas kini dan mengeluarkan sijil digital dalam aplikasi telefon.

“Tidak kira warganegara atau warga asing, yang penting kita nak mengesahkan sama ada ia tulen atau tidak (sijil) vaksinasi yang diberikan di luar negara dan (mengetahui) jenis vaksin (diterima),” katanya selepas melawat pusat pemberian vaksin (PPV) Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) Pusat Konvensyen Antarabangsa Austin (AICC), di Johor Bahru, hari ini.

Beliau berkata bagi individu yang telah mendapat vaksin Covid-19 di luar negara dan perlu masuk ke negara ini bagi tujuan pembukaan sektor ekonomi, sijil vaksinasi akan disemak dan disahkan oleh petugas kesihatan di pintu masuk antarabangsa negara.

Mengenai pembukaan semula Pulau Langkawi kepada pelancong mulai 16 September ini, Dr Adham berkata petugas kesihatan juga akan ditempatkan di laluan pintu masuk ke pusat peranginan itu bagi memudahkan urusan mengesan pelancong yang telah lengkap vaksin Covid-19.

“Selain itu, kita juga akan memaklumkan kepada mereka mengenai kaedah atau prosedur operasi standard (SOP) tertentu yang perlu mereka patuhi,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR