Individu berisiko tinggi disaran tidak kunjungi bazar

Susulan terdapatnya kluster kes Covid-19 yang melibatkan Bazar Ramadan, individu dalam kategori berisiko tinggi dan mempunyai kontak rapat disaran agar tidak berkunjung ke tapak niaga tersebut bagi mengelak berlakunya penularan.

Gesaan itu dilontar Datuk Bandar Johor Bahru Datuk Adib Azhari Daud yang mahu orang ramai harus patuh dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia supaya kes tidak terus meningkat.

“Kita tahu bahawa para peniaga sangat mematuhi SOP yang ditetapkan tetapi untuk para pengunjung walaupun kita sudah ketatkan SOP tetapi kita tidak tahu pengunjung datang daripada mana.

“Jadi sesiapa yang dalam kategori risiko tinggi ini, saya minta jangan pergi ke mana-mana. Duduk di rumah kerana yang menjadi mangsa keadaan nanti adalah peniaga,” katanya lapor Bernama.

Beliau mengingatkan demikian susulan langkah kerajaan menutup empat Bazar Ramadan di Johor bermula hari ini sebagai langkah berjaga-jaga selepas tapak perniagaan itu dikunjungi individu disyaki positif COVID-19.

Penutupan itu melibatkan Bazar Ramadan Kampung Pasir, Jalan Mata Kuching dan Bazar Ramadan @Mart Kempas di kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB); Bazar Ramadan Belatuk, Taman Scientex di kawasan Majlis Bandaraya Pasir Gudang dan Bazar Ramadan Lok Heng dalam kawasan Majlis Daerah Kota Tinggi.

Adib memberitahu orang ramai boleh memilih untuk pergi ke bazar yang kurang dikunjungi bagi mungurangkan risiko jangkitan.

BERITA BERKAIT
POPULAR