Indeks Harga Pengguna naik pada Sept 2021: Jabatan Perangkaan

October 22, 2021 · Isu semasa

Indeks Harga Pengguna (IHP) Malaysia meningkat 2.2 peratus tahun ke tahun kepada 122.8 pada September 2021 berbanding 120.1 pada bulan sama tahun lepas, demikian menurut Jabatan Perangkaan pada Jumaat.

Menurut laporan Bernama, IHP merekodkan kenaikan bagi bulan kelapan berturut-turut sejak Februari 2021 disebabkan oleh kesan asas pada tahun lepas.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata kumpulan pengangkutan terus mencatat kenaikan dua digit sejak Mac dan meningkat 11.0 peratus pada September 2021 berbanding tahun lepas.

Menurutnya, makanan dan minuman bukan alkohol meningkat 1.9 peratus manakala peningkatan tertinggi dicatatkan oleh subkumpulan daging (5.8 peratus) berikutan kenaikan purata harga ayam pada September 2021 kepada RM9.35 sekilogram berbanding RM8.50 pada September 2020.

“Tambahan lagi, subkumpulan ikan dan makanan laut meningkat 3.5 peratus, terutamanya disebabkan oleh peningkatan dalam purata harga ikan kembong kepada RM15.60 (September 2020: RM14.30) dan ikan selayang kepada RM11.40 (September 2020: RM9.80),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Uzir berkata segmen hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah meningkat 1.7 peratus diikuti oleh perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (0.7 peratus) dan perkhidmatan rekreasi dan kebudayaan (0.6 peratus).

Selain itu, beliau berkata kedua-dua segmen — restoran dan hotel serta kesihatan mencatatkan peningkatan marginal 0.3 peratus manakala minuman alkohol dan tembakau meningkat 0.4 peratus dan komunikasi kekal tidak berubah.

Pakaian serta kasut dan pelbagai barangan dan perkhidmatan susut 0.5 peratus manakala pendidikan merekodkan penurunan marginal negatif 0.1 peratus berbanding tahun sebelumnya, katanya.

Mohd Uzir berkata IHP bagi suku tahun ketiga 2021 meningkat 2.2 peratus kepada 122.6 berbanding 120.0 pada suku sama pada tahun sebelumnya

“Bagi perbandingan suku tahunan pula, IHP mencatatkan penurunan negatif 0.4 peratus berbanding suku tahun kedua 2021 manakala bagi perbandingan bulan ke bulan, IHP meningkat 0.2 peratus berbanding Ogos 2021.

“Kenaikan itu didorong oleh kumpulan hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah (1.7 peratus) dan makanan serta minuman bukan alkohol (1.0 peratus),” katanya.

Dalam pada itu, IHP tanpa bahan api meningkat 0.8 peratus pada September 2021 kepada 113.4 berbanding 112.5 pada bulan sama 2019.

Menurut Mohd Uzir, IHP tanpa bahan api meliputi semua barang dan perkhidmatan kecuali petrol tanpa plumbum RON95, petrol tanpa plumbum RON97 dan diesel.

Beliau berkata secara keseluruhan, kesemua negeri juga telah mencatatkan peningkatan IHP pada September 2021.

“Sebanyak lapan negeri iaitu Terengganu (3.1 peratus), Pahang (2.8 peratus), Kelantan (2.8 peratus), Sarawak (2.5 peratus), Perak (2.5 peratus), Johor (2.4 peratus), Kedah dan Perlis (2.4 peratus) serta Melaka (2.3 peratus) menunjukkan peningkatan melepasi paras IHP nasional 2.2 peratus pada September 2021 berbanding tempoh sama pada tahun sebelumnya,” katanya.

Berita berkaitan
PM kata inflasi negara terendah di Asia Tenggara kerana ada subsidi
July 23, 2022· Isu semasa
Inflasi meningkat pada Jun 3.4 peratus, harga makanan naik penyumbang utama
July 22, 2022· Isu semasa
Jumlah perdagangan Malaysia naik kepada RM270.4 bilion pada Jun 2022
July 20, 2022· Isu semasa
Indeks Harga Pengguna naik 2.8 peratus pada Mei 2022, inflasi meningkat
June 24, 2022· Isu semasa
Popular
Rayuan terakhir: Adakah Najib sedang guna strategi baharu?
August 12, 2022
Parti liar Janda Baik: Datuk Seri, warga emas antara 25 ditahan
August 11, 2022
Bank ambil serius kes iPay88 alami ‘insiden keselamatan siber’
August 11, 2022
Siapa ‘jerung’ di belakang skandal kapal tempur: Rafizi tanya Najib
August 11, 2022
Lagi Isu semasa terkini
Ekonomi negara tumbuh lebih kukuh 8.9 peratus pada suku kedua: BNM
2 jam lalu · Isu semasa
Tindakan Najib, Arul pinda laporan audit 1MDB adalah perbuatan jenayah, kata saksi
2 jam lalu · Isu semasa
BNM jamin pelanggaran data iPay88 tidak libat kelemahan sistem bank
3 jam lalu · Isu semasa
Tubuh RCI siasat pelanggaran data setelah iPay88 alami ‘insiden’
3 jam lalu · Isu semasa
Ringgit rendah berbanding dolar AS
4 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Bersatu serah memorandum tubuh RCI siasat projek LCS
August 10, 2022
[FOTO] Dragon Muay Thai gegar Bukit Bintang
August 8, 2022

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok