Imigresen sedia hampir sejuta buku memperbaharui pasport

Jabatan Imigresen Malaysia menyediakan sebanyak 970,000 buku pasport bagi tujuan pembaharuan Pasport Malaysia Antarabangsa sempena pembukaan sempadan negara pada 1 April ini.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata jumlah itu dijangka mencukupi sehingga Julai tahun ini bagi kegunaan rakyat negara ini yang ingin memperbaharui pasport mereka untuk keluar negara, lapor Bernama.

“Di dalam stok imigresen sekarang ini, kami mempunyai sebanyak 970,000 bilangan buku pasport yang mana jumlah ini dijangka mencukupi sehingga Julai tahun ini dan selepas itu barulah pihak kami akan menambah semula stok buku pasport.

“Bilangan unjuran ini dibuat berdasarkan kepada jumlah statistik pembaharuan pasport dalam negara kita sebelum berlakunya pandemik COVID-19, dan pada ketika itu, jumlah rakyat kita yang memohon dan memperbaharui pasport mereka setiap tahun adalah antara 2.3 hingga 2.5 juta setahun,” katanya dalam program Bicara Naratif yang disiarkan secara langsung di saluran TV1 Radio Televisyen Malaysia (RTM) malam ini.

Menurutnya, Malaysia akan membenarkan rakyat dan pelancong asing memasuki negara ini bermula 1 April selepas pintu masuk sempadan negara ditutup sejak Mac 2020 bagi menangani pandemik Covid-19.

Sementara itu, bagi mengatasi masalah kesesakan di pintu keluar-masuk antarabangsa sempena bulan Ramadan dan musim mengerjakan ibadah umrah bermula April ini, Khairul Dzaimee berkata pihaknya akan menggalakkan para jemaah menggunakan sistem laluan automatik daripada kaunter manual.

“Ia bagi membolehkan urusan keluar masuk negara berjalan dengan lancar. Selain itu, strategi lain yang akan digunakan ialah kami akan membuka kaunter khas bagi jemaah yang tidak berupaya menggunakan ‘autogate’,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR