Imigresen nafi anggotanya terlibat dengan Geng Nicky

Datuk Seri Nicky Liow Soon Hee.

Jabatan Imigresen menafikan terdapat anggotanya yang terlibat bersama dengan ketua Geng Nicky yang dikenali sebagai Datuk Seri Nicky Liow Soon Hee.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) belum memberikan sebarang maklumat berhubung penglibatan anggotanya dengan ahli perniagaan yang sedang menjadi buruan pihak berkuasa itu.

“Selalunya, jika ada tangkapan saya akan dimaklumkan dan jika ada yang terlibat kita tidak akan berkompromi. Kita sedia bekerjasama dengan PDRM untuk membantu mereka melengkapkan siasatan,” katanya hari ini.

Selasa lepas, Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador mendedahkan 34 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi penguat kuasa disyaki mempunyai hubungan dan melindungi kegiatan sindiket jenayah terancang ‘Geng Nicky’.

Kumpulan tersebut diketuai Nicky berusia 33 tahun merupakan pengasas kepada Winner Dynasty Group yang berpusat di Setiawalk Puchong, Selangor menjadi buruan polis selepas 68 ahlinya ditahan dalam Op Pelican 3.0 bermula 20 hingga 28 Mac lepas.