Imigresen aktifkan sistem amaran elak kes tahanan lolos berulang

Sistem amaran di dua Depot Tahanan Imigresen di Bidor, Perak dan Beranang, Selangor diaktifkan bagi memastikan kejadian tahanan meloloskan diri seperti yang berlaku di Depot Tahanan Imigresen Relau, Bandar Baharu, Kedah, tidak berulang.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata aspek keselamatan di kedua-dua depot berkenaan telah dipertingkatkan memandangkan pusat tahanan sementara itu asalnya adalah kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN), lapor Bernama.

“Semua komandan telah berhubung dengan balai polis berdekatan dan telah mengaktifkan sistem amaran kerana tidak mahu kejadian itu memberi inspirasi kepada tahanan di depot yang lain,” katanya kepada pemberita di Putrajaya hari ini.

Dalam kejadian awal pagi tadi, seramai 528 tahanan etnik Rohingya meloloskan diri dari Depot Tahanan Imigresen Relau dan enam daripadanya maut dilanggar kenderaan ketika cuba melintas jalan di Kilometer 168 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) berhampiran kawasan Jawi, Nibong Tebal.

Khairul Dzaimee bagaimanapun menjelaskan bahawa depot tahanan itu digunakan jabatan berkenaan untuk menempatkan pelarian yang didapati positif Covid-19.

“528 orang tahanan etnik Rohingya yang ditempatkan di Depot Imigresen Sementara Relau asalnya ditahan di perairan Langkawi pada 2019 yang kemudian ditempatkan di Kem Wawasan Langkawi.

“Namun kem itu ditutup pada 2021 dan pelarian tersebut kemudian dipindahkan ke beberapa depot antaranya di Relau,” katanya.

Mengulas dakwaan kononnya berlaku kematian di depot tersebut sehingga memberi tekanan kepada tahanan, Khairul Dzaimee berkata hanya satu kes kematian kerana sakit biasa direkodkan namun, ia tiada kaitan dengan kejadian meloloskan diri berkenaan.

Beliau berkata punca kejadian pada awal pagi itu, masih dalam siasatan.

Dalam pada itu, beliau berkata usaha mengesan saki-baki warga asing yang meloloskan diri masih giat dijalankan pasukan Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan orang awam.

BERITA BERKAIT
POPULAR