Ikrar PN dalam PRN Melaka, tingkatkan ekonomi dan jaga kebajikan rakyat

Perikatan Nasional (PN) melancarkan tawaran ikrar kepada rakyat Melaka dengan tema ‘Melaka Bangkit Gemilang’ yang akan memberi fokus ke arah meningkatkan ekonomi dan menjaga kebajikan orang ramai jika memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 20 November ini.

Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa melancarkan enam teras ikrar berkata tawaran kepada rakyat Melaka itu bukan satu omong-kosong dan realistik untuk dilaksanakan sekiranya diberikan peluang kepada gabungan tersebut untuk memerintah kerajaan negeri nanti.

“Justeru, Perikatan Nasional telah menyediakan Ikrar berteraskan 6 tunjang utama, berpacukan 11 strategi dan berlandaskan 74 pendekatan.

“Ikrar yang ditawarkan ini bukan omongan kosong, mahupun janji bulan dan bintang. Ikrar ini adalah satu komitmen bahawa Kerajaan negeri yang bakal dibentuk nanti adalah berteraskan suara rakyat yang mahu melihat Melaka Bangkit Gemilang sebagai sebuah negeri yang maju, prihatin rakyat dan dipimpin oleh sebuah pasukan kepimpinan yang berintegriti,” katanya semasa Majlis Pelancaran Ikrar PN Untuk Melaka sempena PRN hari ini.

Bagi memacu ekonomi Melaka, fokus akan diberikan kepada pendigitalan dan pembangunan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) bagi membantu para peniaga di negeri tersebut meningkatkan pendapatan mereka dan menjana peluang perniagaan yang lebih meluas.

“Melalui pendekatan ini, lebih banyak peluang perniagaan dapat dijana dan tentunya para peniaga di Melaka dapat memperoleh pendapatan yang lebih tinggi, bahkan boleh meningkat berlipat kali ganda.

“Pulangan kepada negeri pula akan diterjemahkan melalui pembangunan pesat yang dapat dinikmati oleh setiap lapisan rakyat di negeri Melaka,” katanya.

Selain itu, Muhyiddin juga mengumumkan bantuan one-off sebanyak RM200 akan diberikan kepada para guru agama dan tadika bagi menghargai jasa dan bakti yang dicurahkan kepada anak-anak Melaka.

“Kerajaan PN juga akan memberikan perhatian kepada pengurusan sekolah tahfiz. Bagi memastikan persekitaran yang kondusif, bantuan penyelenggaraan akan diberikan kepada semua sekolah tahfiz yang berdaftar di bawah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM).

“Selain itu, bantuan one-off sebanyak RM200 akan diberikan kepada Guru Tahfiz, Guru KAFA dan juga Guru Tadika di bawah seliaan JAIM. Ini adalah bagi menghargai jasa dan bakti guru-guru untuk mendidik anak-anak dalam apa jua keadaan,” katanya lagi.

Para peniaga juga bakal menerima kemudahan, kerajaan PN akan mengurangkan bayaran lesen perniagaan dan sewa tapak bagi meringanka beban mereka dalam menghadapi kesan pandemik Covid-19.

“PN memahami bahawa pandemik Covid-19 memberi kesan yang cukup mendalam kepada rakyat dan kesannya masih terasa sehingga kini.

“Bagi meringankan impak pasca Covid-19, bayaran lesen perniagaan dan bayaran sewa tapak kepada penjaja dan peniaga kecil akan dikurangkan. Ini bagi meringankan beban kewangan dan memberi ruang kepada mereka untuk kembali berniaga,” jelasnya lagi.

Bantuan tunai juga akan diberikan kepada semua anak Melaka yang lahir pada 2021, ia sebagai penghargaan kepada rakyat Melaka.

“PN menyedari dalam tempoh yang sukar ini, perbelanjaan untuk menyambut kelahiran anak juga memberi kesan kepada sebahagian rakyat.

“Oleh yang demikian, bantuan one-off sebanyak RM200 akan diberikan kepada semua anak yang dilahirkan di negeri Melaka pada tahun 2021,” katanya lagi.

Sektor pelancongan domestik Melaka juga tidak dipinggirkan dalam ikrar yang diumumkan Muhyiddin, PN berjanji akan menyediakan kemudahan infrastruktur bagi menjadikan Melaka sebagai destinasi utama para pelancong.

“Bagi melancarkan lalu lintas, terutamanya pada waktu puncak atau musim percutian, Kerajaan PN Melaka yang akan dibentuk nanti akan menyediakan lebih banyak kemudahan tempat letak kenderaan bertingkat di kawasan pelancongan dan diselaraskan dengan sistem “park and ride”.

“Perikatan Nasional juga akan menggiatkan usaha pemulihan industri pelancongan, termasuk pelancongan kesihatan antarabangsa bagi menjadikan Melaka destinasi pilihan pelancongan kesihatan.

“Selain itu, pendekatan menjadikan Melaka sebagai tempat persinggahan pelancong kapal persiaran yang menyusuri Selat Melaka dan pusat penganjuran Mesyuarat, Insentif, Persidangan dan Pameran (MICE) akan dipergiat dengan menyediakan kemudahan penginapan, pengangkutan dan aktiviti sampingan,” terangnya lagi.

Muhyiddin juga menggesa pengundi Melaka agar memberi peluang kepada PN untuk mentadbir selepas melalui pengalaman pahit sehingga menyaksikan dua kali kerajaan tumbang akibat perebutan kuasa sesama sendiri ahli politik di negeri itu.

Cukuplah pengalaman pahit yang saudara dan saudari serta kita semua lalui sebelum ini.

“Untuk kali ini, saya menyeru agar seluruh rakyat Melaka bersatu hati dan memberi mandat kepada Perikatan Nasional untuk bersama-sama melakarkan satu sejarah baharu – Melaka Kembali Bangkit Gemilang,” katanya lagi.

BERITA BERKAIT
POPULAR