Ikhtiar selamatkan nyawa daripada Covid-19 satu perjuangan jihad: PM

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyampaikan ucapan khas sempena Aidiladha 1442, malam ini.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan pengorbanan umat Islam di Malaysia dalam mematuhi prosedur operasi standard (SOP) adalah jihad yang besar pada sisi Allah SWT dalam ikhtiar untuk menyelamatkan nyawa.

Pengorbanan yang tinggi juga ditunjukkan petugas barisan hadapan dalam kalangan kakitangan kesihatan, keselamatan, penjawat awam mahupun sukarelawan dan badan bukan kerajaan bagi melawan wabak Covid-19 yang melanda negara sejak tahun lalu.

Perdana Menteri turut menghargai pengorbanan itu dan mendoakan supaya semangat petugas barisan hadapan negara dan rakyat secara umumnya akan dikurniakan ganjaran terbaik di sisi Allah SWT.

“Saya berharap saudara dan saudari mengekalkan disiplin dan kepatuhan terhadap SOP kerana ketika ini kita masih tidak diizinkan melakukan aktiviti merentas negeri dan saling menziarahi. Saya merayu supaya kita semua bersabarlah dalam mematuhi SOP.

“Dalam tempoh fasa pemulihan ini, kerajaan menguatkuasakan larangan tertentu mengikut SOP Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang menuntut sambutan Aidiladha perlu dilakukan di rumah bersama keluarga secara sederhana. Namun begitu, saya percaya kemeriahan sambutan ini tetap dirasakan.

“Namun berita baiknya ialah kita membenarkan pelaksanaan solat Sunat Aidiladha dan solat Jumaat dengan diperluaskan kuantitinya kepada 50 orang namun Pihak Berkuasa Agama Islam Negeri akan menetapkan SOP mengikut kesesuaian atas perkenan Sultan-Sultan Negeri,” katanya dalam ucapan khas sempena Aidiladha, di sini.

Perdana Menteri juga yakin Malaysia mampu berjaya dalam peperangan melawan Covid-19 dengan pertolongan dan rahmat Allah SWT yang bersama hambaNya yang sentiasa berusaha gigih, bersabar dan bertawakal.

Apatah lagi dalam tempoh beberapa bulan sahaja lagi, negara akan dapat mencapai matlamat imuniti kelompok berdasarkan kelancaran pemberian vaksin Covid-19 yang sedang berjalan di seluruh negara ketika ini, katanya.

“Setakat ini, Pusat Pemberian Vaksin (PPV) secara konsisten mencapai jumlah lebih 400,000 dos sehari, yang meletakkan negara di landasan yang betul untuk mencapai sasaran imuniti kelompok menjelang akhir tahun ini,” katanya.

Perdana Menteri turut mengharapkan umat Islam di negara ini diizinkan untuk kembali mengerjakan ibadat Haji pada tahun hadapan susulan keputusan muktamad pihak berkuasa Arab Saudi yang tidak membenarkan jemaah negara luar termasuk Malaysia ke Tanah Suci tahun ini ekoran wabak itu.

“Peluang untuk menunaikan ibadat Haji adalah saat yang sangat ditunggu-tunggu umat Islam. Kita semua rindukan kesempatan untuk mengunjungi Baitullah al-Haram dan menziarahi maqam Rasulullah SAW ketika berada di tanah suci.

“Namun pada tahun ini kita terpaksa menangguhkan semua urusan berkaitan operasi musim Haji kerana kita akur dengan keputusan pihak berkuasa Arab Saudi.

“Saya faham ramai dalam kalangan kita yang berasa amat sedih dengan berita ini, namun saya percaya umat Islam di negara ini menerima ketentuan ini dengan penuh redha, sabar dan berlapang dada,” katanya.

Mengenai ibadat korban, Perdana Menteri berkata, umat Islam perlu mematuhi panduan dan SOP yang dikeluarkan pihak berkuasa keran ia adalah semata-mata untuk memenuhi tuntutan syarak dalam melindungi nyawa kita daripada bahaya Covid-19.

Katanya, pelaksanaan ibadah korban kali ini mungkin sedikit berbeza dengan kaedah sebelumnya tertakluk kepada pematuhan garis panduan yang ditetapkan oleh Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV).

POPULAR