Iesya Toh dakwa sudah beri maklumat ‘Dr Nur’ kepada Hishammuddin

Pengacara, Iesya Toh mendakwa sudah memberi maklumat kepada Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berhubung maklumat ‘Dr Nur’ yang dikatakan ditahan pihak Israel seperti dikongsi di Instagram (IG) miliknya, baru-baru ini.

Pelakon itu yang nama sebenarnya Nor Iesyatirradiah Sanny Toh, 37, juga bersedia bertanggungjawab sepenuhnya di atas perkongsian itu selepas mendakwa maklumat diterimanya adalah sahih.

Memetik laporan Berita Harian beliau mendakwa beberapa minggu lalu telah dihubungi seorang doktor yang bertugas di Hospital Kuala Lumpur (HKL) menyatakan rakan setugas yang menjalankan misi bantuan di Palestin, ditahan pihak Israel.

“Selepas membuat siasatan dan mendapati maklumat yang disampaikan benar, saya menghantar mesej menerusi aplikasi WhatsApp kepada Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berhubung perkara itu.

“Saya juga menyertakan nombor telefon pihak terbabit yang boleh dihubungi untuk mendapatkan penjelasan lanjut mengenai insiden berkenaan kepada Hishammuddin,” katanya yang juga pengacara Selamat Pagi Malaysia.

Iesya mengulas laporan mengenai Wisma Putra yang mahu dirinya, Heliza Helmi dan individu lain memberi maklumat mengenai ‘Dr Nur’ yang dikatakan ditahan pihak Israel.

Semalam, Wisma Putra telah cuba menghubungi dua individu bernama Dr Aida dan Dr Shafiq, yang didakwa berkhidmat di HKL bagi mendapatkan maklumat lanjut berkenaan ‘Dr. Nur’ namun kedua-dua mereka gagal dihubungi.

BERITA BERKAIT
POPULAR