Ibu muda sukar amalkan penyusuan ibu

September 9, 2022 · Isu semasa

Kebanyakan ibu-ibu muda berhadapan dengan cabaran menyediakan pemakanan yang mencukupi bagi bayi. Keadaan lebih kritikal  dalam memastikan bayi diberi susu ibu secara eksklusif selama enam bulan pertama dan disarankan penyusuan susu ibu diteruskan sehingga usia dua tahun.

Berdasarkan pemerhatian pakar sakit puan di  Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Andorra (Andorra),  hampir 50 peratus ibu muda yang baru melahirkan bayi dilihat gagal meneruskan tempoh penyusuan susu ibu secara eksklusif selama enam bulan berikutan kurang kesedaran mengenai manfaat jangka panjang penyusuan ibu untuk bayi.

Hakikatnya, penyusuan ibu juga  merupakan suatu kemahiran yang mengambil masa serta latihan sebelum si ibu mahir dan bukan setiap ibu akan mahir secara automatik.

Perkara yang perlu dipelajari termasuk cara memegang bayi, posisi penyusuan yang berbeza, dan cara untuk melekapkan bayi dan menghentikan penyusuan dan banyak lagi.

Menurut Pakar Sakit Puan Andorra, Dr. Khamsiah Muda, berdasarkan pemerhatiannya kebanyakan ibu muda yang mendapatkan pemeriksaan selepas bersalin di hospital ini dilihat hanya bertahan selama sebulan penyusuan susu ibu sebelum memilih untuk mencampurkan dengan susu formula.

“Kebanyakan mereka tidak mampu berdepan dengan cabaran penyusuan itu antaranya kerana tiada motivasi untuk meneruskan penyusuan eksklusif dan tidak cuba mengatasi masalah di awal penyusuan itu.

“Kebiasaannya bagi ibu muda ini, mereka tidak mempunyai pengetahuan bagaimana teknik penyusuan dengan betul, hisapan bayi dan kegagalan mengatasi pemikiran bahawa bayi mereka tidak kenyang,” katanya sempena bulan Penyusuan Ibu Ogos ini.

Tambah Dr. Khamsiah, dari mula bayi dilahirkan susu ibu adalah makanan terbaik untuk bayi kerana mengandungi semua nutrien yang diperlukan untuk tumbesaran dan perkembangan otak, mudah hadam dan susu ibu sentiasa tersedia pada suhu yang tetap.

“Selepas bersalin akan berlaku perubahan hormon dan susu ibu akan terhasil, cuma untuk memastikan penghasilan itu konsisten, perlu ada hisapan semula jadi daripada bayi sendiri.

“Cabarannya mungkin pengeluaran susu ibu itu lambat dalam tiga hari, salur susu belum terbuka dan kadang-kadang bengkak susu.

“Dari situ, ibu muda perlu tahu dan meminta pandangan apa yang perlu dilakukan, tetapi sebaiknya teruskan saja memberi bayi hisapan pada payudara kerana hisapan bayi adalah paling kuat sekali.

“Jadi tiada sebab atau alasan untuk mengatakan anda tidak mempunyai susu untuk bayi,” katanya.

Selain itu, ibu muda juga sering berhadapan masalah saluran susu tersumbat kerana apabila satu bahagian payudara berasa sakit, berwarna kemerahan dan terasa seperti ada ketulan. Apabila berlaku, susu tidak dapat keluar dan berlaku kesakitan di bahagian itu.

“Oleh itu, bagi mengatasi masalah tersebut, susukan bayi dengan kerap untuk memastikan susu ibu mengalir melalui payudara dan menghalangnya daripada bersandar di saluran, ibu perlu mengeluarkannya dengan kerap dan kerap. Jangan melangkau penyusuan atau tunggu terlalu lama antara penyusuan.

“Si ibu juga boleh melakukan urutan di bahagian payudara sebelum menyusukan anak. Pam susu selepas menyusukan bayi untuk mengeluarkan lebih banyak susu dan cuba membebaskan penyumbatan. Adalah penting untuk mengosongkan payudara sepenuhnya selepas menyusu. Selain itu, ambil makanan tambahan bersesuaian untuk mengurangkan bengkak pada payudara seterusnya melancarkan pengaliran susu ibu,” ujarnya.

Tambah beliau lagi, kebaikan susu ibu amatlah mempengaruhi perkembangan keluarga masa kini. Anak yang menyusu dengan susu ibu sepenuhnya mempunyai hubungan yang sangat rapat dengan ibu. Sejak kecil mereka sangat manja malah hubungan ini dibawa sehingga remaja dan dewasa.

Sebagai panduan memastikan susu terhasil dengan baik, beliau berkata, seelok-eloknya diet setiap bakal ibu perlu mengambil pemakanan berzat sepanjang mengandung berbanding makanan segera yang tidak begitu membantu.

“Selepas bersalin perlu mengambil minuman mencukupi, jangan terlalu ketat dalam proses berpantang dan bersandarkan kepada amalan mitos orang dulu-dulu.

“Ibu juga memerlukan makanan bernutrisi tinggi untuk memulihkan semula tenaga, mengecutkan rahim dan menambah zat dalam badan.

“Selain itu, ibu muda perlu tahu penghasilan susu ibu akan berlaku dengan banyak bermula jam lapan malam hingga lapan pagi kerana pada tempoh itu, hormon prolaktin dan oksitosin aktif.

“Jadi dari situ ibu mengambil peluang menyusukan anak dan jangan tukar dengan susu formula semata-mata untuk berehat,” katanya.

Jelasnya, sekiranya ibu memilih tidak mahu menyusu secara eksklusif, sebenarnya satu kerugian kerana tiada sentuhan atau ikatan semula jadi antara ibu dan bayi yang boleh terhasil.

“Tidak dinafikan kebanyakan syarikat pengeluar susu bayi ini boleh mencipta hampir 95 peratus persamaan dengan susu ibu melalui pelbagai kandungan jenis vitamin, probiotik dan sebagainya.

“Tetapi sebagai hospital yang menekankan penyusuan ibu, kami tetap akan menggalakkan ibu muda memberi susu ibu kepada bayi mereka.

“Susu ibu adalah susu diciptakan dengan sifat semula jadi dalam komposisi nutrien, vitamin, ketepatan suhu, selain memberi antibodi yang kuat untuk bayi melawan serangan penyakit.

“Dalam keadaan ekonomi ketika ini juga, susu ibu adalah penyelamat dalam mengurangkan beban membeli susu formula,” katanya.

Popular
81% pencarum KWSP Bumiputera miliki kurang RM1,000: Laporan
October 1, 2022
Tiada tunai dikeluarkan dari akaun Najib: Saksi beritahu mahkamah
October 5, 2022
Anak Najib terlepas kes tak bayar cukai RM10.3 juta, LHDN tarik balik rayuan
October 5, 2022
PH terbit bajet bayangan 2023
October 5, 2022
Lagi Isu semasa terkini
Mat Kilau, Paskal ditayang di Gaza
11 jam lalu · Isu semasa
PH terbit bajet bayangan 2023
12 jam lalu · Isu semasa
Tiada tunai dikeluarkan dari akaun Najib: Saksi beritahu mahkamah
14 jam lalu · Isu semasa
Najib mohon semakan kehakiman setelah dilarang hadir Parlimen
15 jam lalu · Isu semasa
249,646 murid dapat manfaat bekalan lokar di 626 sekolah: Radzi
15 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Pemasangan lokar di 626 sekolah selesai Oktober
11 jam lalu
[VIDEO] Pandangan orang awam terhadap PRU15 diadakan tahun ini
October 4, 2022

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok