Ibu hamil perlu divaksin untuk kurangkan risiko Covid-19

June 5, 2021 · Isu semasa

Sejak akhir-akhir ini terdapat desas-desus dalam kalangan ibu hamil yang terlalu takut untuk mendapatkan vaksin Covid-19.

Walaupun vaksin Pfizer telah diumumkan sebagai pilihan vaksin yang sesuai untuk golongan ibu hamil dan menyusukan, Ketua Jabatan Perbidanan dan Sakit Puan, Hospital Pantai Kuala Lumpur (PHKL), Dr. Premitha Damodaran masih menerima pelbagai soalan daripada pesakitnya tentang keselamatan vaksin tersebut terhadap kandungan mereka.

Dengan pengalaman lebih daripada 25 tahun, beliau sendiri mengakui belum pernah melalui pandemik yang serius seperti Covid-19 dan menggesa supaya ibu hamil mendapatkan vaksin dalam tempoh antara Minggu 14 dan Minggu 33 kehamilan.

“Apabila seorang wanita hamil, tubuhnya mengalami perubahan drastik untuk disesuaikan dengan kesihatan dan keselamatan bayi dalam kandungannya. Tahap imuniti si ibu menurun dan si ibu mudah terdedah pada pelbagai jenis penyakit,” katanya.

Secara umumnya, golongan ibu sudah lama menerima vaksin sepanjang kandungan untuk menjamin kelahiran bayi yang sihat dan terlindung daripada penyakit.

“Buat masa ini, kita perlu memastikan ibu-ibu ini mendapatkan vaksin Covid-19 kerana penyakit tersebut telah terbukti lebih berbahaya berbanding penyakit lain,” kata Dr. Premitha.

Dalam kes positif Covid-19 yang melibatkan ibu hamil, kategori klinikal penyakit tersebut boleh bertambah serius dalam masa singkat berbanding individu lain.

Sekiranya mereka yang tidak hamil masih boleh dikuarantinkan di rumah bagi kategori satu atau dua, keadaan ibu hamil boleh melarat dengan cepat kerana rahim ibu yang mengembang mengikut tempoh kehamilannya khususnya selepas memasuki bulan keempat memberi impak terhadap paru-paru si ibu.

Sebab itu, ibu hamil yang disahkan positif sering kali ditahan di hospital untuk perhatian lanjut sehingga betul-betul sembuh.

Bercerita tentang kesan sampingan vaksin Covid-19 yang merisaukan, Dr. Premitha meyakinkan golongan ibu hamil bahawa kesan selepas vaksinasi seperti rasa lenguh, pening kepala, mual dan demam boleh dirawat dan tidak mendatangkan mudarat kepada ibu dan bayi kerana kesan tersebut akan hilang dalam masa terdekat.

“Sekiranya perlu, doktor akan memberikan ubat paracetamol untuk ibu hamil menangani kesan sampingan tersebut.

“Jangan keliru kesan ini dengan kesan alahan. Alahan boleh mengakibatkan serangan kejutan (anaphylactic shock) sehingga muka bengkak dan sukar bernafas. Kita perlu cuba bertahan dengan rasa kurang selesa selepas divaksinkan kerana dalam tempoh hamil, kesihatan ibu adalah yang paling mustahak. Tanpa ibu yang sihat dan bebas penyakit, bagaimana bayi yang sihat dapat dilahirkan?,” katanya.

Tambah beliau, terbaharu, kita sudah selesai Fasa Satu Program Imunisasi Kebangsaan yang melibatkan antara 80 hingga 90 peratus kakitangan kesihatan seluruh negara.

Kini, hospital adalah antara tempat paling selamat untuk anda. Oleh itu, jangan takut untuk datang ke hospital dan berbincang dengan doktor anda tentang sebarang isu melibatkan kehamilan dan vaksin Covid-19.

“Malah, kakitangan kesihatan yang hamil juga digalakkan untuk mengambil vaksin. Sehingga kini, mereka juga tidak mengalami apa-apa isu berkaitan COVID-19 sepanjang kehamilan mereka. Para ibu perlu mendapatkan maklumat yang tepat daripada sumber sahih dan tidak mudah terpedaya oleh sebaran dalam media sosial kerana setiap kehamilan adalah unik. Sebab itu ibu-ibu perlu mendapatkan nasihat daripada doktor tentang menghadapi kehamilan sepanjang tempoh pandemik,” jelasnya.

Antara lain, Dr. Premitha menasihatkan golongan suami untuk memainkan peranan lebih proaktif dalam menjaga keselamatan isteri mereka yang sedang hamil.

Para suami perlu mengambil langkah berjaga-jaga apabila keluar bekerja, membeli barang keperluan rumah dan melaksanakan tugas lain sebelum kembali ke rumah untuk bertemu keluarga mereka kerana penjagaan selepas kelahiran juga amat penting.

Walaupun kakitangan kesihatan boleh menawarkan suasana yang selamat untuk ibu dan bayi di hospital, cabaran sebenar adalah apabila si ibu dan bayi pulang ke rumah.

“Kami faham ahli keluarga, jiran tetangga dan rakan-rakan amat teruja untuk menyambut ketibaan ‘orang baharu’ dalam keluarga, tetapi dalam tempoh pandemik ini sebaiknya elakkan kedatangan pelawat yang mahu menyentuh bayi anda. Walaupun mereka nampak sihat pada mata kasarnya, sukar untuk kita membezakan individu sihat dengan individu yang tidak menunjukkan sebarang simptom Covid-19,” katanya.

Dengan ribuan kes baharu yang dicatatkan dalam negara setiap hari, Dr. Premitha berharap ibu hamil dan menyusukan akan terus mengikut SOP yang digariskan dan memilih untuk divaksinkan.

 

Berita berkaitan
Hadi dibenar keluar hospital, berehat di rumah
July 2, 2023· Politik
Orang kuat PKR doakan kematian Hadi, Dr Mahathir: Laporan
July 1, 2023· Politik
Derma darah – Selamatkan insan yang memerlukan
June 28, 2023· Isu semasa
Lokman Adam bebas tuduhan sebar berita palsu berkait Covid-19, vaksin
June 23, 2023· Isu semasa
Popular
Jumlah hasil petroleum dibayar kepada Terengganu rendah, tak sampai RM1 bilion
October 3, 2023
Penolong pengurus hotel didakwa cabul kehormatan bekas pembaca berita
October 3, 2023
Yasin diperintah bela diri tiga pertuduhan kes dadah
October 3, 2023
Orang PJ dan Shah Alam makan beras import, tak mahal sangat: Mat Sabu
October 2, 2023
Lagi Isu semasa terkini
Yasin diperintah bela diri tiga pertuduhan kes dadah
11 jam lalu · Isu semasa
Jumlah hasil petroleum dibayar kepada Terengganu rendah, tak sampai RM1 bilion
19 jam lalu · Isu semasa
Penolong pengurus hotel didakwa cabul kehormatan bekas pembaca berita
19 jam lalu · Isu semasa
PAS tak fail rayuan keputusan Parlimen Kemaman, sedia hadapi PRK
20 jam lalu · Isu semasa
PMX kata akan umum berita baik pada Khamis selepas lawatan ke UAE
24 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Anwar kena tenang tak perlu agresif, Pelangai tetap pilih PN
6 jam lalu
[VIDEO] Malaysia macam negara miskin sejak Anwar Ibrahim jadi PM
8 jam lalu

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok