Hutang kerajaan 88.1 peratus berbanding KDNK, RM1.36 trilion

Jumlah hutang dan liabiliti terkini keseluruhan kerajaan adalah sebanyak 88.1 peratus berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada akhir tahun 2021 atau bersamaan RM1.36 trilion.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, hutang Kerajaan Persekutuan mencatatkan sebanyak RM979.8 bilion atau 63.4 peratus berbanding KDNK pada akhir tahun sama.

Daripada jumlah tersebut, jelasnya, hutang statutori berjumlah RM922.5 bilion atau 59.7 peratus berbanding KDNK dan masih dalam lingkungan had statutori 65 peratus daripada KDNK yang telah dinaikkan pada Oktober tahun lalu.

“Kerajaan juga menanggung libaliti lain seperti komitmen jaminan iaitu hutang-hutang syarikat berkaitan kerajaan yang mendapat jaminan kerajaan serta diberi peruntukan untuk pelaksanaan pelbagai projek infrastruktur dan utiliti awam berjumlah RM197.3 bilion.

“Selain itu, hutang syarikat 1Malaysia Development berhad (1MDB) dianggarkan kira-kira RM32 bilion.

“Liabiliti kewangan lain meliputi projek kerjasama awam swasta (atau PPP) termasuk pajakan serta projek di bawah inisiatif pembiayaan swasta (atau PFI) dan PBLT Sdn. Bhd. yang dianggarkan berjumlah RM151.1 bilion,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi jawapan bertulis semasa sesi pemberitahuan pertanyaan lisan Dewan Rakyat Mesyuarat Pertama, Penggal Kelima Parlimen Keempat Belas 2022 bertarikh 15 Mac 2022.

Terdahulu, Ahli Parlimen Kubang Pasu Datuk Amiruddin Hamzah (Pejuang) dalam soalan bertulis meminta Menteri Kewangan menyatakan jumlah komitmen hutang negara dan pecahannya mengikut kategori hutang langsung kerajaan, komitmen jaminan, 1MDB, pakej-pakej rangsangan Covid-19 dan peratusan hutang kepada KDNK.

BERITA BERKAIT
POPULAR