Hutang 1MDB dibayar guna wang rakyat RM13.31 bilion, termasuk RM3.31 bilion faedah

Kerajaan sudah membayar hutang Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dijamin berjumlah RM13.31 bilion, ia termasuk RM3.31 bilion telah digunakan untuk tujuan pelunasan faedah Bon atau Sukuk melibatkan syarikat sarat hutang tersebut.

Semua hutang tersebut dibayar menggunakan wang rakyat yang dibuat menerusi Kementerian Kewangan dan syarikat Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) bagi tujuan bayaran komitmen dan faedah hutang 1MDB, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Idris Ahmad.

“Setakat 28 Februari lalu, jumlah dana pemulihan aset 1MDB yang berjaya didapatkan kembali adalah sebanyak RM19.14 bilion daripada beberapa mata wang asing termasuk dolar Amerika Syarikat (AS), dolar Singapura dan dolar Australia.

“Dana ini telah dan akan digunakan bagi tujuan pembayaran hutang 1MDB di mana setakat 28 Februari lalu, sebanyak RM3.31 bilion telah digunakan untuk tujuan pelunasan faedah Bon atau Sukuk 1MDB.

“Ini menjadikan jumlah pembayaran yang telah dibuat oleh Kerajaan/ syarikat MKD adalah sebanyak RM13.31 bilion. Pada masa ini, dana akaun amanah masih berbaki sebanyak RM15.76 bilion termasuk hibah dan untung/rugi tukaran asing,” katanya yang menggantikan Menteri dan Timbalan Menteri Kewangan yang tidak hadir pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat hari ini.

Jelasnya lagi, selain bantuan kewangan langsung kerajaan, faedah hutang 1MDB juga dibiayai menggunakan dana pemulihan aset syarikat itu yang diakaunkan dalam satu akaun amanah di bawah Kementerian Kewangan, yang diberi nama Akaun Amanah Mendapatkan Kembali Aset.

Beliau menjawab pertanyaan M Karupaiya (PH-Padang Serai) yang meminta Kementerian Kewangan menyatakan berapakah jumlah bayaran yang dijelaskan oleh kerajaan Malaysia untuk membayar balik hutang berkaitan dengan 1MDB dan SRC International setakat ini.

Selain itu, Karupaiya bertanyakan apakah sumber kewangan yang digunakan serta berapakah jumlah nilai dari setiap sumber ini dan semua pembayaran ini dibuat atas nama siapa dan berapakah baki lagi yang masih rakyat Malaysia hutang.

Mengenai baki dana pemulihan aset 1MDB, Idris berkata sebanyak RM15.76 bilion ini hanya mencukupi untuk menampung sebahagian besar prinsipal termasuk faedah hutang pada 2022 iaitu sebanyak RM16.18 bilion.

Bagi menampung kekurangan dana, beliau berkata, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM1.53 bilion untuk tujuan pelunasan faedah hutang 1MDB pada tahun ini.

Katanya, kerajaan masih perlu menampung kekurangan keperluan dana sebanyak RM17 bilion bagi tujuan pelunasan baki prinsipal dan faedah hutang 1MDB sebanyak RM38.8 bilion untuk tempoh 2022 hingga 2039.

Ia berdasarkan aliran tunai penyelesaian hutang 1MDB dengan mengambil kira jangkaan dana penyelesaian yang bakal diterima daripada AmBank sebanyak RM515 juta dan baki jaminan pemulihan aset oleh Goldman Sachs sebanyak kira-kira AS$954 juta.

“Mulai 2014 sehingga 28 Februari 2022, jumlah yang dibayar oleh SRC adalah sebanyak RM314.72 juta manakala jumlah yang dibayar oleh kerajaan adalah sebanyak RM4,744.49 juta.

“Ini menjadikan jumlah keseluruhan pembayaran semula pinjaman daripada KWAP adalah sebanyak RM5,059.21 juta. Jumlah ini adalah termasuk bayaran prinsipal, keuntungan dan ta’widh (gantirugi kepada peminjam akibat daripada kelewatan).

“Pembayaran terakhir bagi pembiayaan daripada KWAP tersebut dijadualkan pada 28 Mac 2022 yang berjumlah RM610.22 juta. Kesemua pembayaran yang dilakukan oleh kerajaan adalah daripada sumber kewangan kerajaan,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR