Hukuman kes rasuah bekas Ketua UMNO Bahagian Pandan kekal, dipenjara 8 tahun

March 2, 2023 · Isu semasa

Mahkamah Rayuan hari ini mengekalkan hukuman penjara lapan tahun dan denda RM977,560 terhadap bekas Ketua Umno Bahagian Pandan, Abd Ghani Ismail atas 10 pertuduhan menerima rasuah membabitkan RM193,512 antara Mei 2006 hingga Mac 2007.

Panel tiga hakim yang diketuai Hakim Datuk Hanipah Farikullah sebulat suara memutuskan demikian selepas menolak rayuan akhir Abd Ghani, 56, untuk mengetepikan sabitan dan hukuman yang dikenakan terhadapnya, menurut laporan Bernama.

Dalam penghakimannya, Hanipah berkata sebahagian besar alasan penghakiman Mahkamah Tinggi adalah tidak relevan dengan fakta bagi sembilan pertuduhan menerima rasuah, maka pandangan Mahkamah Tinggi sudah tentu memprejudiskan perayu.

Bagaimanapun, beliau berkata Mahkamah Rayuan mempunyai kuasa untuk mendengar semula rayuan berdasarkan keterangan di Mahkamah Sesyen.

“Setelah meneliti rekod rayuan dan kesemua keterangan serta alasan penghakiman Mahkamah Sesyen, kami dapati keputusan Mahkamah Sesyen boleh dipertahankan dan tidak terdapat apa-apa kekhilafan oleh Mahkamah Sesyen yang memerlukan campur tangan oleh Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan.

“Kami juga berpuas hati bahawa tidak terdapat kesilapan di peringkat Mahkamah Sesyen. Oleh itu, sabitan dan hukuman oleh Mahkamah Sesyen dikekalkan manakala rayuan (bagi sembilan pertuduhan) ditolak,” katanya yang bersidang bersama-sama Hakim Datuk S. Nantha Balan dan Datuk Wira Ahmad Nasfy Yasin.

Bagi satu lagi pertuduhan memperoleh suapan untuk melantik sebuah syarikat sebagai kontraktor, Hanipah berkata mahkamah berpendapat tidak terdapat kekhilafan oleh Mahkamah Tinggi yang memerlukan campur tangan Mahkamah Rayuan.

“Hakim Mahkamah Tinggi telah mengguna pakai prinsip undang-undang yang betul kepada fakta rayuan bagi kes tersebut. Dengan itu, sabitan dan hukuman oleh Mahkamah Tinggi adalah selamat, rayuan ditolak, keputusan Mahkamah Tinggi dikekalkan,” kata hakim itu.

Mengikut sembilan pertuduhan, Abd Ghani didakwa sebagai Ahli Jawatankuasa Tender, Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) ketika itu, memperoleh suapan daripada seorang kontraktor Abdul Rahman Yaacob (sudah meninggal dunia) berjumlah RM193,512.

Ia sebagai balasan menolong Abdul Rahman mendapatkan Tender Zon SP 23 iaitu kerja perkhidmatan kutipan sisa pepejal di Taman Lembah Maju dan Taman Kencana serta Tender Zon PB 16 iaitu kerja pembersihan kawasan di Pandan Cahaya daripada MPAJ.

Abd Ghani didakwa melakukan kesemua perbuatan itu di Desa Pandan antara 4 Ogos 2006 hingga 31 Mac 2007.

Bagi satu lagi pertuduhan, Abd Ghani didakwa memperoleh suapan bagi dirinya iaitu pelantikan Syarikat Lembah Rimbun sebagai subkontraktor kepada Syarikat Dwisakti Mewah Sdn Bhd yang dia mempunyai kepentingan dalam syarikat itu. Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Pandan Jaya pada 1 Mei 2006.

Ia sebagai upah menolong Syarikat Dwisakti Mewah Sdn Bhd mendapatkan Tender Zon SP 21 iaitu kerja pelupusan sisa pepejal di kawasan Bandar Pandan Indah daripada MPAJ.

Bagi kesemua pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 11 (a) dan Seksyen 10 (a)(aa) Akta Pencegahan Rasuah 1997 (Akta 575) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 16 Akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan.

Difahamkan, Abd Ghani yang telah membayar denda tersebut (RM977,560) akan menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang bermula hari ini.

Pada 28 Dis 2012, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun dan denda RM977,560 ke atas Abd Ghani sebelum Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengekalkan
hukuman sama terhadapnya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Norzilati Izhani Zainal dan Samihah Rhazali manakala peguam Zamri Ibrahim mewakili Abd Ghani.

Berita berkaitan
Indira kemuka saman 8 negeri tuntut isytihar tukar agama unilateral tak sah
7 jam lalu· Isu semasa
Isteri pelakon bawa watak Anwar mohon cerai: Laporan
15 jam lalu· Isu semasa
RM2.25 juta berjaya dikumpul untuk bayar ganti rugi kes saman MP DAP
16 jam lalu· Politik
MB perlu bercuti sementara ketika siasatan sedang berjalan: Pemuda PAS Selangor
March 16, 2023· Politik
Popular
Isteri pelakon bawa watak Anwar mohon cerai: Laporan
March 20, 2023
Selama tiga minggu berturut-turut pelabur asing lari dari Malaysia
March 20, 2023
Kempen antirasuah Anwar hanya mahu singkir pembangkang: Tun M
March 20, 2023
Che’gu Bard dakwa Anwar, DAP lindungi kesalahan menteri KBS
March 20, 2023
Lagi Isu semasa terkini
Kos haji bagi B40 kekal RM10,980 dengan RM400 juta peruntukan bantuan
10 jam lalu · Isu semasa
Jangan kata kita nak bunuh TnG, kata Loke
10 jam lalu · Isu semasa
Che’gu Bard dakwa Anwar, DAP lindungi kesalahan menteri KBS
11 jam lalu · Isu semasa
Kempen antirasuah Anwar hanya mahu singkir pembangkang: Tun M
12 jam lalu · Isu semasa
Mangsa banjir Johor turun kepada 8,650, 47 PPS masih beroperasi
13 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Anak muda pantang ditipu, lebih yakin dengan Perikatan
17 jam lalu
[VIDEO] Sertai Pakatan dakyah ‘cybertrooper’, PAS tawakal dengan Bersatu
21 jam lalu

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok