HTAR nafi Jabatan Kecemasan dan Trauma dikosong untuk lawatan PM

Dakwaan mengatakan Jabatan Kecemasan dan Traumanya 'dikosongkan' untuk menerima lawatan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam, adalah tidak benar.

Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang menafikan Jabatan Kecemasan dan Traumanya ‘dikosongkan’ untuk menerima lawatan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam.

Pengarah HTAR Dr Zulkarnain Mohd Rawi berkata pemindahan pesakit Covid-19 ke Kompleks Rawatan Harian (ACC) yang ditukarkan fungsinya sebagai Wad Covid-19 adalah pelan kontigensi yang diambil bagi pengurusan bencana peringkat hospital.

“Kenyataan yang tular mendakwa Jabatan Kecemasan dan Trauma dikosongkan kerana menerima lawatan Perdana Menteri pada 13 Julai adalah tidak benar kerana jabatan berkenaan sudah sememangnya penuh dengan pesakit.

“Pesakit yang belum menerima rawatan di Jabatan Kecemasan dan Trauma setakat 13 Julai adalah seramai 177 orang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, pada 8 Julai lalu Wad G2 dan G3 yang berhampiran Jabatan Kecemasan dan Trauma HTAR dikenal pasti sebagai tempat yang boleh digunakan untuk merawat pesakit Covid-19.

“Manakala pada 9 Julai 2021, ACC telah dicadangkan untuk ditukar fungsinya sebagai wad sementara merawat pesakit Covid-19 demi memastikan pesakit mendapat rawatan dalam ruang yang selesa,” katanya.

Dr Zulkarnain juga berkata pemindahan doktor pelatih HTAR dari asrama doktor pelatih ke bangunan asrama pelajar perubatan Universiti Malaya (UM) yang lebih selesa bertujuan mengoptimumkan penggunaan Blok A, B dan C asrama berkenaan kerana kedudukan Blok D telah digunakan sebagai pusat saringan Covid sejak April 2020.

Katanya beliau mengarahkan fungsi Blok A dan B asrama doktor pelatih dijadikan Wad Covid-19 Kategori 1 dan 2, dan pemindahan doktor pelatih ke asrama pelajar perubatan UM selesai 12 Julai lalu.

POPULAR