
Dua pesakit diletakkan di atas lantai berlapikkan usungan di ruang menunggu sebuah hospital di Kedah yang diubah menjadi wad merawat pesakit, akibat wad sedia ada sudah penuh dan ketiadaan lagi katil untuk digunakan.
Sebelum ini kita disajikan dengan keadaan hospital dan pusat perubatan di beberapa negara, terutama di India – akibat kekurangan katil susulan pertambahan pesakit Covid-19 – pesakit baharu terpaksa diletakkan di atas lantai.
Memang pada awalnya kita berharap keadaan seperti di India itu tidak akan berlaku di negara yang kita sayangi ini.
Namun, itulah hakikatnya jika masih ada lagi individu yang tidak mempedulikan amaran yang saban hari dikeluarkan oleh sama ada kerajaan atau Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Apa yang dibimbangi dan amat menyedihkan, akhirnya berlaku juga di negara kita. Keadaan di hospital sudah benar-benar kritikal – sudah nazak sebagaimana pesakit Covid-19 kategori 5 yang terpaksa ditidurkan.
Melalui satu perkongsian bertujuan memberi amaran kepada orang ramai, petugas barisan hadapan sebuah hospital daerah di Kedah memuat naik sekeping gambar yang menunjukkan keadaan yang menyedihkan itu.
Gambar berkenaan menunjukkan pesakit Covid-19 terpaksa diletakkan di atas lantai berlapikkan pengusung disebabkan ketiadaan lagi katil bagi menampung jumlah pesakit yang semakin ramai. Keadaan yang sama masih berlaku di India.
Kata petugas barisan hadapan itu, inilah keadaannya di mana hospital semakin tidak mampu untuk menampung terlalu ramai pesakit Covid-19 yang menerima rawatan.
“Dahulunya kawasan ini hanyalah ruang menunggu, namun sekarang terpaksa diubah menjadi ruang bagi merawat pesakit. Pesakit diletakkan di atas lantai berlapikkan usungan kerana ketiadaan katil,” katanya merujuk kepada gambar berkenaan yang menunjukkan dua pesakit terbaring di atas usungan sambil dirawat seorang petugas.
Kata petugas itu lagi, tong-tong oksigen kini ‘diikat’ pada dinding di ruang menunggu sebagai persediaan untuk menerima pesakit yang memerlukan bantuan oksigen.
“Zon merah, kuning dan hijau sentiasa penuh. Inilah peperangan sebenar kami sebagai petugas barisan hadapan. Semoga dapat memberi gambaran kepada anda semua.
“Covid-19 bukan hanya ‘menyerang’ hospital-hospital besar, tetapi juga semua hospital di seluruh Malaysia. Berhentilah bergaduh. Marilah bersama kami,” katanya sambil menasihatkan orang ramai mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.
“Telefon mak ayah di kampung bagi mereka faham vaksin tu apa. Risikonya sangat rendah berbanding bila dah terkena Covid.
“Sebarkan kefahaman realiti sebenar, kini hospital pun dalam keadaan kritikal. Pakar pembedahan terpaksa turun padang untuk kes jantung di wad kecemasan. Pesakit dah terlalu ramai, semua bantu apa yang boleh tanpa mengikut kepakaran.
“Wad Covid penuh. Ini juga realiti masa kini, satu demi satu wad yang bukan Covid telah diubah menjadi wad Covid untuk menampung kadar pesakit Covid yang mencanak naik,” katanya lagi.
Namun, adalah diharapkan keadaan sedemikian tidak berterusan.
Kelmarin Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perutusan khas telah mengumumkan rancangan Mempertingkatkan Kapasiti Kesihatan Awam dengan peruntukan tambahan RM1 bilion bagi memastikan sistem kesihatan tidak akan runtuh.
Beliau berkata, kerajaan memperuntukkan RM450 juta bagi meningkatkan kapasiti katil dan peralatan unit rawatan rapi (ICU) bagi rawatan Covid-19, di semua hospital di seluruh Malaysia.