
Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein.
Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein yakin kerja-kerja mobilisasi projek Kapal Tempur Persisir (LCS) dapat disempurnakan hujung tahun ini seperti yang dijadual.
Hishammuddin berkata maklumat lengkap mengenai perkembangan mobilisasi itu akan beliau umumkan dalam masa terdekat, menurut Bernama.
Beliau berkata setakat hari ini pihaknya berjaya menghidupkan kembali hubungan dengan syarikat pembekal dan vendor projek berkenaan dari dalam dan luar negara.
“Pihak Kementerian Pertahanan juga telah berbincang dengan bank-bank yang terlibat dalam projek ini bahawa kerajaan telah putuskan projek pembinaan kapal LCS ini akan diteruskan dan kita harap pada hujung tahun ini proses mobilisasi ini dapat mencapai kehendak kita dan seterusnya ke proses pembinaan kapal pertama,” katanya pada sidang media selepas melawat Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan di Wangsa Maju di Kuala Lumpur, hari ini.
Turut hadir Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dan Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain.
Skandal terbaharu kapal LCS meletus apabila pada 4 Ogos lalu Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mendedahkan lebih RM6 bilion wang rakyat telah diberikan kepada Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) untuk projek pembinaan enam kapal itu, yang keseluruhannya bernilai lebih RM9 bilion.
Pengerusi PAC Wong Kah Woh berkata BBNS telah membelanjakan semua RM6 bilion yang diberikan kerajaan untuk pembinaan enam kapal LCS itu.
Untuk rekod, kontrak pembekalan enam kapal LCS itu diberikan ketika BN/UMNO memerintah iaitu bermula dengan surat anugerah pada 2011 disusuli penyerahan kontrak kepada BNS pada 2014.
Semua kapal itu sepatutnya diserahkan tahun ini dan 2023, tetapi sehingga kini bukan sahaja tidak diserahkan sebaliknya sebuah LCS pun belum lagi siap sedangkan RM6 bilion telah diberikan oleh kerajaan semata-mata untuk BNS melaksanakan projek itu.
Sebelum ini, BN dan UMNO telah dikaitkan dengan skandal kewangan terbesar dalam sejarah dunia melibatkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), hingga Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN ketika itu Datuk Seri Najib Razak diheret ke mahkamah dan dijatuhi hukuman penjara dan denda setelah didapati bersalah.
Skandal 1MDB yang memalukan negara pada mata dunia dan dikaitkan dengan Najib serta kroni-kroninya telah menumbangkan BN pada Pilihan Raya Umum Ke-14.