Hishammuddin perlu jawab tiga persoalan isu kapal tempur TLDM

August 10, 2022 · Isu semasa

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein perlu memberi penjelasan secara telus tiga isu daripada kontrak RM9.128 bilion untuk perolehan enam kapal tempur pesisir pantai (LCS), kata pesaing politik daripada Pakatan Harapan (PH) yang sebelum ini memegang portfolio beliau.

Dalam satu kenyataan bersama, bekas Menteri Pertahanan Mohamad Sabu dan bekas timbalannya Liew Chin Tong, terlebih dahulu meminta Hishammuddin menyatakan hutang semasa Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS), kontraktor utama yang memperoleh projek daripada kerajaan Barisan Nasional/UMNO secara rundingan terus.

Mereka menegaskan bahawa bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah menuduh Kementerian Pertahanan (Mindef) ketika pentadbiran PH kononnya “membekukan” projek LCS selama 15 bulan sejak September 2019 untuk siasatan.

Kedua-duanya berkata dakwaan Najib adalah “satu pembohongan” kerana projek itu tidak diteruskan disebabkan hutang BNS.

“Projek LCS telah menghadapi masalah kewangan sebelum PH mengambil alih kuasa,” kata kedua-duanya hari ini.

Mereka menegaskan bahawa hutang BNS setakat Ogos 2019 berjumlah RM1.738 bilion, terdiri daripada RM869 juta kepada institusi kewangan, RM767 juta kepada pengeluar peralatan asal (OEM) dan RM102.2 juta hutang lain.

“Banyak subkontraktor dan OEM tidak lagi meneruskan kerja kerana hutang. Kerajaan PH tidak ‘membekukan’ projek LCS,” kata mereka.

Soalan kedua mereka kepada Hishammuddin berkisar tentang BNS yang menerima ratusan juta ringgit sebagai sebahagian daripada kontrak LCS untuk membayar hutang untuk projek lama yang berasingan.

Daripada RM6.08 bilion yang telah dibayar kerajaan Malaysia kepada BNS di bawah projek LCS RM9.128 bilion, Mohamad dan Liew mendakwa sejumlah RM745 juta telah digunakan untuk “bail out” projek lama yang melibatkan pembekalan Kapal Peronda Generasi Baharu (NGPV).

Kedua-duanya menyenaraikan RM745 juta daripada RM6.08 bilion itu, dengan RM255 juta untuk menyelesaikan hutang lama NGPV dan RM141 juta untuk faedah ke atas hutang tersebut, manakala RM349 juta untuk “peningkatan kos reka bentuk”.

Kedua-duanya mendesak Hishammuddin untuk sama ada bersetuju bahawa dana projek LCS boleh digunakan untuk membayar hutang dalam projek NGPV, sambil turut bertanya sama ada projek LCS dimulakan dengan niat untuk “rolling” hutang lama projek NGPV.

Bagi soalan ketiga, Mohamad dan Liew bertanya sama ada BNS akan diberi “order book” bagi menjamin terbitan sukuk atau bon Islam, untuk mengumpul dana RM4 bilion bagi memulihkan projek LCS bernilai RM9.128 bilion.

Menurut kedua-duanya mereka hairan kenapa syarikat BNS pada Jun 2021 telah mencadangkan nilai kontrak ataupun “order book” sebanyak RM53 bilion oleh pihak kerajaan bagi tujuan mendapatkan pinjaman berjumlah RM4 bilion melalui sukuk untuk memulihkan projek LCS.

Kedua-duanya berkata cadangan untuk “order book” sebanyak RM53 bilion bagi kontrak 30 tahun untuk penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih, adalah tidak wajar.

Sambil menyatakan bahawa Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), badan pemantau dwipartisan Parlimen, sebelum ini diberitahu bahawa kerajaan Malaysia pada 2021 hanya bersetuju untuk memberikan “order book” selama tiga tahun, Mohamad dan Liew berkata langkah kerajaan ini juga tidak betul dan tidak selamat.

Menyedari bahawa Hishammuddin pada 20 April mengumumkan bahawa projek LCS akan diteruskan, kedua-duanya menegaskan bahawa tiada sesiapa, termasuk PAC, telah diberikan butiran tentang bagaimana dana akan diperoleh dan garis masa untuk projek itu.

“Hishammuddin dan kerajaan mesti memberi penjelasan yang telus dan jelas, serta menjamin tidak akan berlaku penyalahgunaan dana yang boleh membawa mudarat,” kata mereka.

Berita berkaitan
Jangan gopoh, kata Mat Sabu ulas gesaan halang warga asing beli beras
September 26, 2023· Isu semasa
Pengguna beralih daripada beli beras import ke beras tempatan, kata Mat Sabu
September 19, 2023· Isu semasa
Mat Sabu tegur MP Amanah tawar diri ganti tempat Salahuddin, tumpu kepada PRN
July 26, 2023· Politik
Bekalan beras berkurangan : Mat Sabu
July 20, 2023· Isu semasa
Popular
Hassan pertahan pendedahan bekalan barang terputus kerana ia adalah fakta
September 26, 2023
Jangan gopoh, kata Mat Sabu ulas gesaan halang warga asing beli beras
September 26, 2023
Kumpulan peguam persoal PH dan PMX membisu hukuman penjara Wan Ji
September 26, 2023
Perbicaraan Ebit Liew: Saksi beritahu pemacu pena ada bahan berunsur lucah
September 26, 2023
Lagi Isu semasa terkini
Penipuan tuntutan dana MITRA, perunding perniagaan didakwa
3 jam lalu · Isu semasa
Rayuan pendakwaan terhadap keputusan mahkamah bebas Muhyiddin pada 28 Feb
3 jam lalu · Isu semasa
Permohonan Najib ketepi injunksi saman 1MDB beku aset RM681 juta ditolak
3 jam lalu · Isu semasa
Nilai ringgit cecah RM4.70 berbanding dolar, susut lagi
4 jam lalu · Isu semasa
Hassan pertahan pendedahan bekalan barang terputus kerana ia adalah fakta
20 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Dakwaan Menteri jejas pelancongan, boleh ke Langkawi pakai seluar pendek
2 jam lalu
[VIDEO] Sanusi tolak jadi calon naib presiden PAS, selesa jadi AJK
3 jam lalu

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok