Hishammuddin disahkan positif Covid-19

Seorang Menteri Kanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein kini disahkan positif jangkitan Covid-19, menurut satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Perkara itu disahkan dalam satu kenyataan Pejabat Menteri Pertahanan pagi ini yang memberitahu keputusan ujian dijalani Hishammuddin menunjukkan keputusan positif Covid-19.

“Beliau sememangnya menjalani ujian pengesanan Covid-19 jenis RT-PCR secara berkala selain turut kerap melakukan ujian pengesanan secara kendiri (self-test) melalui kaedah RTK Antigen. Kali terakhir beliau menjalani ujian pengesanan jenis RT-PCR dan mendapat keputusan negatif Covid-19 ialah pada Jumaat, 18 Februari 2022.

“Datuk Seri Hishammuddin Hussein akan terus memantau dan menjalankan tugas-tugasnya yang sesuai dilaksanakan sepanjang tempoh isolasi,” kata kenyataan itu.

Dalam pada itu, pejabatnya juga memaklumkan keadaan semasa Hishammuddin akan diterus dipantau dan menjalani pengasingan yang ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM).

“Sebagai individu yang telah menerima dos penggalak, beliau akan menjalani tempoh isolasi mengikut ketetapan semasa oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia,” katanya lagi.

Untuk rekod, Hishammuddin pada 13 Februari lalu dikompaun susulan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) berkaitan Covid-19 semasa menghadiri pelancaran Briged MIC di Johor Bahru.

Arahan kompaun dikeluarkan selepas KKM mendapati tiga pemimpin Barisan Nasional (BN) yang hadir ke program tersebut melanggar SOP.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, melalui Twitternya memaklumkan, beliau mengarahkan pegawai KKM Putrajaya mengeluarkan kompaun itu terhadap Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran; Hishammuddin yang juga Bendahari Agung BN dan Pengerusi BN Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad.

BERITA BERKAIT
POPULAR