
Penghinaan atau penyalahgunaan kalimah Allah hendaklah disekat mengikut peruntukan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan, selaras keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor yang diwartakan pada 18 Februari 2010.
Sehubungan itu, Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abd Wahid mengajak umat Islam menyokong setiap usaha untuk melarang penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam dalam konteks yang salah, dengan tujuan membanteras kekeliruan dalam masyarakat.
“Saya dengan penuh kesedaran menyeru umat Islam di Selangor khasnya, agar terus istiqamah mempertahankan kesucian Islam dan keluhuran kalimah Allah daripada disalahgunakan oleh pihak-pihak tertentu, terutama sekali dalam perkara yang boleh mengancam akidah umat Islam.
“Umat Islam dan bukan Islam hendaklah menghormati keputusan fatwa yang telah diwartakan ini. Setiap fatwa yang diwartakan adalah mengikat seluruh orang Islam di negeri berkenaan, dan hendaklah diiktiraf oleh Mahkamah di negeri tersebut,” kata dalam kenyataan hari ini.
Katanya, Jabatan Mufti Negeri Selangor mendukung titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah pada 23 Mac lalu, yang melarang penggunaan kalimah Allah dalam kitab Bible (terjemahan Bahasa Melayu) atau percetakan apa-apa buku dan penulisan bagi agama Kristian di Selangor.
Beliau berkata, mesyuarat itu juga jelas menegaskan bahawa lafaz Allah merupakan kalimah suci yang khusus bagi agama dan umat Islam, dan ia tidak boleh digunakan atau disamakan dengan agama-agama bukan Islam yang lain.
Kalimah Allah, katanya, adalah kalimah suci umat Islam dan hanya boleh digunakan untuk merujuk kepada Tuhan Yang Maha Esa, yang memiliki segala sifat kesempurnaan seperti mana yang ditegaskan oleh Allah SWT di dalam surah al-Ikhlas ayat 1-4.
“Ini amat bercanggah dengan kepercayaan agama lain yang ingin menggunakan kalimah Allah tetapi mendakwa Allah itu salah satu dari tiga tuhan, seperti mana firman Allah SWT dalam surah al-Maidah ayat 73,” katanya.