
Lima kakitangan KKM dan seorang juruterbang ditemui selamat selepas helikopter dinaiki dilaporkan terhempas. Gambar Bomba dan Penyelamat Negeri Pahang.
Lima kakitangan Kementerian Kesihatan (KKM) dan seorang juruterbang disahkan ditemui dalam keadaan selamat selepas helikopter dinaiki mereka terhempas di Brinchang, Cameron Highlands, hari ini.
Perkara itu disahkan Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf sebentar tadi.
“Kesemua mangsa helikopter terhempas di Brinchang dilaporkan selamat, dalam perjalanan dari Cameron Highlands ke Ipoh membawa (1) juruterbang, (1) doktor dan (4) pasukan perubatan,” katanya dipetik Bernama.
Sementara itu, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dalam satu kenyataan hari ini mengesahkan telah menerima maklumat berhubung kemalangan udara itu.
“Kemalangan membabitkan sebuah helikopter jenis Airbus AS 355 F2 dengan nombor pendaftaran 9M-SSW berhampiran Tanah Rata, Cameron Highland, Pahang pada jam 1.03 petang, Rabu, 26 Oktober 2022.
“Helikopter berkenaan yang dikendalikan oleh Layang Layang Aerospace Sdn. Bhd. Berlepas dari Kampung Gawin ke Tanjung Rambutan, Perak pada jam 12.20 petang. Pesawat berkenaan membawa seorang juruterbang serta lima penumpang,” kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Kapten Chester Voo.
Katanya Pusat Kawalan Operasi Kecemasan (EOC) CAAM dan Pusat Koordinasi Menyelamat Aeronautial (ARCC) di Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC) di Sepang diaktifkan segera pada jam 1.11 petang.
“Unit mencari dan menyelamat pertama melalui jalan darat telah digerakkan ke lokasi kejadian 19 minit kemudian dan usaha mencari dan menyelamat masih dijalankan.
“Siasatan lanjut akan dilaksanakan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara di bawah Kementerian Pengangkutan Malaysia mengikut Bahagian XXVI Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016,” katanya.