Helikopter bawa KM Sarawak mendarat cemas, cuaca buruk

Sebuah helikopter yang membawa Ketua Menteri, Tan Sri Abang Johari Abang Openg dan rombongan terpaksa melakukan pendaratan cemas di Padang Kawad Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) di Kuching, petang tadi.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail berkata helikopter milik Hornbill Skyways terbabit membuat pendaratan cemas pada jam 2.45 petang susulan cuaca buruk ketika hujan lebat.

“Helikopter yang membawa Ketua Menteri dan beberapa individu lain mendarat di Padang Kawad UNIMAS kerana cuaca buruk.

“Bagaimanapun, tiada kejadian tidak diingini berlaku dan Ketua Menteri meneruskan perjalanan menggunakan jalan darat,” katanya.

Difahamkan, ketika kejadian Abang Johari bersama rombongan dalam perjalanan pulang ke Kuching selepas meninjau proses pengundian di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Gedong yang ditandinginya kali ini.

Pagi tadi, Abang Johari dan isteri, Datuk Amar Juma’ani Tuanku Bujang membuang undi di Pusat Mengundi Kompleks Sukan Satok, Padang SLPAS pada jam 10.05 pagi.

Abang Johari yang bertanding di Kerusi DUN Gedong pada Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-12 (PRN12) kemudiannya dikatakan melawat pusat pengundian di DUN tersebut sebelum pulang semula ke Kuching.

BERITA BERKAIT
POPULAR