
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Md Din menunjukkan modus operandi sindiket untuk menggodam akaun mangsa menerusi Kit Pakej Android. - Gambar PDRM
Polis mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati terhadap iklan menawarkan jualan barang atau perkhidmatan saluran televisyen yang akan menggodam akaun bank mangsa menerusi penggunaan fail Kit Pakej Android (APK).
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata sindiket terbabit menggunakan Facebook untuk mengiklankan barang untuk dijual dan perkhidmatan berkenaan.
Menurutnya setakat ini, polis telah menerima lima laporan berhubung kegiatan sindiket penipuan itu yang menggunakan modus operandi sedemikian membabitkan kerugian RM58,844 iaitu tiga di Johor dan masing-masing satu di Pulau Pinang dan Sabah.
Beliau berkata mangsa berminat dengan tawaran itu akan menghubungi sindiket melalui WhatsApp dan diberi pautan fail APK untuk dimuat turun aplikasi itu di telefon pintar.
“Setelah dimuat turun, aplikasi itu akan menggantikan sistem khidmat pesanan ringkas (SMS) sedia ada. Mangsa akan diarahkan untuk mendaftar sebelum diberikan akses bagi menggunakan aplikasi itu.
“Maklumat diperlukan untuk pendaftaran termasuk nama, nombor kad pengenalan, e-mel, butiran kad kredit dan perbankan dalam talian,” katanya pada sidang media hari ini.
Mohd Kamarudin berkata, terdapat paparan kesilapan muka surat atau ‘page error’ akan ditunjukkan setelah semua maklumat dimasukkan dan mangsa menekan butang hantar kerana aplikasi ini tidak dipautkan kepada sistem perbankan tulen.
“Hakikatnya, aplikasi dan proses ‘pendaftaran’ yang dibuat hanya semata-mata untuk mendapatkan akses kandungan SMS serta butiran perbankan yang kemudiannya akan digunakan untuk memindahkan wang dari akaun mangsa,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya masih memburu dalang di sebalik sindiket itu yang dipercayai masih berada dalam negara.
“Kita percaya mereka menggunakan akaun keldai untuk memindahkan wang dari akaun mangsa. Bila cukup bukti, kita akan menjejaki mereka dan buat tangkapan dalam masa terdekat untuk membanteras sindiket itu sepenuhnya.
“Oleh itu, jangan memuat turun fail APK yang dihantar terus ke telefon pintar anda oleh individu tidak dikenali, selain elakkan menggunakan aplikasi APK daripada sumber tidak sah.
“Keselamatan sistem SMS pada telefon pintar hendaklah sentiasa dipelihara kerana ianya akan menerima SMS OTP (kata laluan sekali) daripada pelbagai aplikasi yang dipasang di teleton pintar.
Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.