
Tiada penyokong bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang kelihatan berkumpul di pekarangan Istana Kehakiman di Putrajaya hari ini (19 Ogos), berbanding semalam. - Gambar Agenda Daily
Hanya lima penyokong Datuk Seri Najib Razak hadir di pekarangan Istana Kehakiman di Putrajaya pada hari kedua perbicaraan rayuan terakhir bekas Perdana Menteri itu di Mahkamah Persekutuan, hari ini (19 Ogos 2022).
Berbeza dengan semalam puluhan penyokongnya berkumpul di pekarangan Istana Kehakiman sebagai tanda solidariti kepada Ahli Parlimen Pekan itu yang mengemukakan rayuan terakhir terhadap sabitan hukuman penjara dan denda bersabit kes penyelewengan RM42 juta dana milik SRC International Sdn Bhd (SRC).
Sementara itu, Bernama melaporkan suasana di pekarangan Istana Kehakiman, pagi ini tenang dan hanya petugas media tempatan serta luar negara saja dilihat berkumpul bagi mengikuti prosiding kes itu.
Bagaimanapun, kawalan keselamatan masih diperketat dengan pagar besi diletakkan di semua pintu keluar dan masuk mahkamah, selain hanya peguam atau individu yang mempunyai urusan saja dibenarkan masuk.
Peguam utama Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili bekas Perdana Menteri itu tiba di pekarangan Istana Kehakiman, kira-kira jam 8.15 pagi dengan ditemani dua peguam lain.
Sekitar jam 9.18 pagi, kenderaan yang membawa Najib dilihat tiba di Istana Kehakiman dengan diiringi anggota polis.
Hari ini, pihak pendakwaan akan meneruskan hujahan lisan mereka dalam pendengaran rayuan kes berkenaan di hadapan lima panel hakim diketuai Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat.
Timbalan Pendakwa Raya Datuk V Sithambaram membentangkan penghujahan pada 9.30 pagi ini di hadapan panel yang turut dianggotai Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim serta Hakim Mahkamah Persekutuan terdiri daripada Datuk Nallini Pathmanathan; Datuk Mary Lim Thiam Suan; dan dan Datuk Mohamad Zabidin Mohd.
Semalam, mahkamah menolak permohonan Hisyam Teh untuk menarik diri daripada mewakili Najib dan memerintahkan pihak pendakwaan untuk membentangkan penghujahan.
Pada 28 Julai 2020, Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali, yang kini hakim Mahkamah Rayuan, menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun terhadap Najib bagi setiap tiga pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT) dan setiap tiga pertuduhan pengubahan wang haram, dan penjara 12 tahun serta denda RM210 juta (jika gagal bayar, penjara lima tahun) bagi tuduhan menyalahgunakan kedudukan.
Tahun lepas, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi dan menolak rayuan Najib untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara serta denda.
Terdahulu, Najib memberhentikan khidmat peguam cara yang dilantiknya Tetuan Zaid Ibrahim Suffian TH Liew & Partners.