Hargai pengorbanan petugas barisan hadapan, bukan dihina

June 8, 2021 · Isu semasa

Petugas barisan hadapan merupakan individu paling berisiko dijangkiti virus Covid-19. Mereka juga punya anak isteri, suami dan keluarga untuk diberi makan. Demi negara, kesihatan dan kesejahteraan anda semua, mereka korban segalanya.

Termasuklah masa rehat dan senang mereka. Jadi, jangan jadikan diri anda sebahagian yang menyumbang kepada runtuhnya semangat petugas barisan hadapan ini.

Namun, masih ramai yang memberi pandangan negatif terhadap golongan ini. Malah ada yang memuat naik turun komen negatif menghina dan mempertikai usaha mereka.

Seorang doktor Pejabat Kesihatan Daerah Sepang, Zuraihan Dahari meluahkan kekecewaannya dalam Facebook kerana sikap orang ramai yang tidak beradab dan menjaga bahasa semasa berkomunikasi dengan kakitangan barisan hadapan.

“Kami di Pejabat Kesihatan Daerah Sepang tidak akan mengambil ringan akan insiden caci-maki & ugutan kontak rapat/ kes terhadap anggota kesihatan kami.

“Kami cuba sedaya upaya dalam mengawal penularan COVID-19 di Sepang. Mohon kerjasama penduduk di Sepang untuk mudahkan urusan kerja kami.

“Kami perlukan anggota kami bekerja dalam keadaan mental yang stabil, fizikal yang sihat.

“Sila jaga adab & bahasa semasa berkomunikasi dengan anggota kami.

“Terima kasih kepada PDRM kerana sentiasa susah senang bersama kami dalam musim pandemik ini.”

Dalam pada itu, laporan diterbitkan badan bukan kerajaan (NGO) kesihatan Mac lalu menunjukkan lebih 400 pekerja barisan hadapan COVID-19 diserang di seluruh dunia.

Ini menunjukkan kes buli dan menghina barisan hadapan kian meningkat.

Gabungan Mempertahankan Kesihatan Dalam Konflik (TSHCC) melancarkan peta interaktif yang menunjukkan 1,172 tindakan ganas dan serangan terhadap pekerja kesihatan atau kemudahan kesihatan tahun lalu.

Lebih satu pertiga (412) tindakan itu secara langsung berkaitan dengan COVID-19, menurut laporan yang memetik beberapa contoh.

Antara lain ialah kejadian di Mexico apabila seorang jururawat diserang dan dicederakan oleh kumpulan yang menuduhnya menyebarkan virus berkenaan.

Di Dakar, tiga pekerja sosial dilempar batu oleh penduduk yang enggan membenarkan pengebumian mangsa COVID-19 berdekatan kediaman mereka.

Di Birmingham, England, seorang pekerja kesihatan dicerca dan dihina oleh seorang jirannya.

Sebilangan besar, iaitu sebanyak 80 peratus pelaku keganasan, adalah orang awam, bagaimanapun terdapat juga ancaman daripada pihak berkuasa.

Di Mesir, petugas kesihatan yang mengkritik pengendalian wabak ditangkap oleh pasukan keselamatan dan dituduh menyebarkan maklumat palsu serta menjadi anggota kumpulan pengganas.

Menurut pakar motivasi dan kaunseling, Hushim Salleh, mereka yang selalu menghina petugas barisan hadapan ini mempunyai masalah psikologi dan rata-rata mereka hidup bersendiri.

“Saya boleh katakan kebanyakan mereka ini tiada kasih sayang, atau ada pengalaman lampau hingga menyebabkan pemikiran menjadi negatif. Golongan ini beranggapan semua orang yang buat baik tidak kena dan boleh dikatakan ada yang mengalami split personaliti.

“Ini menyebabkan mereka menolak idea serta pendapat orang lain hingga menyebabkan mereka meninggalkan komen-komen tidak masuk akal dalam media sosial. Kebiasaannya mereka akan bertindak di belakang tadbir,” katanya.

Tambah Hushim, golongan ini tidak akan nampak kebaikan orang lain. Ini yang terjadi kepada barisan hadapan. Bahkan kebanyakan mereka kehidupan mereka bersendirian, tiada kawan dan cenderung ke arah kesihatan mental.

“Kita sedia maklum, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan pada 18 Mac tahun lalu bagi memutuskan rantaian penularan wabak koronavirus (Covid-19), ramai yang stres. Ramai yang tidak boleh bersosial, melancong, duduk terperap dalam rumah dan rutin harian yang membosankan.

“Hal ini menyebabkan segelintir sentiasa ada persepsi negatif, bosan dan mula terfikir menjatuhkan barisan hadapan yang bertugas. Mereka menganggap  barisan hadapan menyukarkan hidup mereka. Apabila emosi tidak stabil, maka wujudlah masalah hati dan hasad dengki dengan orang lain,” jelasnya.

Tambah beliau, mereka mengalami keletihan pandemik hingga mencetuskan kesan psikologi dan emosi yang membawa pada tahap mereka sudah tidak kisah dengan situasi penularan wabak Covid-19 ini.

“Mereka bukan tidak tahu tentang angka jangkitan kes dan pentingnya sokongan kepada kumpulan barisan hadapan kerana ia boleh diperoleh daripada telefon pintar masing-masing tapi keadaan sekarang ada kalanya membawa kepada pemikiran yang tidak rasional,” katanya.

Bahkan Hushim pernah didatangi guru yang tertekan kerana dituduh makan gaji buta. Kebanyakan mereka  tidak berpuas hati dengan guru-guru yang bekerja di rumah dan dapat gaji, kemudian golongan ini memberi komen dan memuat naik status negatif di media sosial.

“Secara keseluruhannya, golongan ini mahukan perhatian dan kurang kasih sayang. Justeru, pentingnya keimanan diri, hati kalbu yang bersih, matang menggunakan media sosial dan menghormati orang lain,” ujarnya.

Beliau menambah, kita bersyukur masih berpeluang meneruskan aktiviti harian dengan selesa di rumah bersama keluarga sementara para petugas barisan hadapan berusaha keras, mengorbankan keselamatan dan masa mereka demi mengekang penularan kes Covid-19.

Berita berkaitan
Kes baharu Covid-19 seluruh negara catat peningkatan
December 17, 2023· Isu semasa
Jumlah kes Covid-19 aktif setakat ini 20,017
December 11, 2023· Isu semasa
Awesome TV digantung penyiaran bermula 2 November
October 19, 2023· Isu semasa
Nyahsenarai cecair nikotin: MCTC saman menteri kesihatan, kerajaan
July 3, 2023· Isu semasa
Popular
SPRM masih cari jutaan ringgit kes pembantu menteri DAP: Laporan
April 18, 2023
Kata masuk pelaburan berbilion, Rafidah terkejut kilang tayar tutup
March 7, 2024
Ketahui hak harta sepencarian selepas bercerai
January 12, 2022
LCS: Anwar cakap tak serupa bikin
May 29, 2023
Lagi Isu semasa terkini
Polis sedang kesan individu hina Sultan Selangor, dipercayai berada luar negara
24 jam lalu · Isu semasa
Saman fitnah: Rayuan Jamal ditolak, perlu bayar RM300 ribu kepada Kok
24 jam lalu · Isu semasa
Kata masuk pelaburan berbilion, Rafidah terkejut kilang tayar tutup
March 7, 2024 · Isu semasa
Laman akaun Facebook tak boleh diakses jutaan pengguna
March 5, 2024 · Isu semasa
Ahli Parlimen blok kerajaan juga tak setuju cukai SST dinaikkan
March 5, 2024 · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Mahathir dakwa SPRM ugut Mirzan untuk dakwa dirinya
January 22, 2024
[VIDEO] Siasat saya senang, yang susah siasat PM sebab ada kuasa, kata Mahathir
January 22, 2024

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok