Harga roti Massimo naik, KPDNHEP panggil pengeluar roti beri penjelasan

Selepas pengumuman kenaikkan harga roti jenama Massimo, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan memanggil pengeluar roti tersebut bagi mendapatkan penjelasan mereka.

Pengeluar roti itu, The Italian Baker menaikkan harga roti keluaran mereka berkuatkuasa 1 Januari, ia melibatkan produk roti White Sandwich 400 gram (g) kepada RM2.80 sebuku (harga lama RM2.38), White Sandwich 600g RM4 (RM3.35), Wheat Germ 400g RM3 (RM2.48) dan Wheat Germ 600g RM4.25 (RM3.71).

Harga baharu lain, termasuk RM4.10 untuk produk 100% Whole Wheat dan roti krim Duetto pula berharga RM1.

Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid, berkata ini kerana kenaikan harga itu pastinya menjejaskan rakyat yang masih bergelut dengan pandemik COVID-19 dan diburukkan lagi oleh bencana banjir di seluruh negara.

“Kita akan panggil pengeluar roti jenama Massimo, kementerian nak tahu apa alasan kenaikan itu dan apa alternatifnya untuk rakyat.

“Ini untuk mengurangkan beban dihadapi rakyat yang terjejas teruk akibat Covid-19 dan bencana banjir,” katanya dipetik laporan BH hari ini.

Rosol berkata, sewaktu kenaikan produk roti jenama Gardenia pada 1 Disember tahun lalu, pihaknya turut mengadakan sesi konsultasi bersama pengeluarnya, Gardenia Bakeries.

Katanya, syarikat itu memberikan alasan kenaikan harga berpunca daripada peningkatan harga bahan mentah yang berada di luar kawalan mereka.

“Kementerian memahami alasan itu dan sebagai alternatif, Gardenia Bakeries berjanji untuk mengeluarkan satu produk baharu roti yang dijual pada harga lama.

“Langkah yang sama boleh dibuat oleh pengeluar Massimo supaya rakyat mempunyai pilihan,” katanya.

Dalam pada itu, Rosol berkata, kerajaan hanya boleh mengawal harga roti putih biasa dan jika pengeluar berhasrat menaikkan harganya, mereka perlu memaklumkan kepada KPDNHEP terlebih dulu.

“Untuk roti lain, ia tidak tertakluk kepada kawalan harga itu,” katanya yang berharap satu situasi menang-memang dapat dicapai.

BERITA BERKAIT
POPULAR