
Ahli Parlimen Padang Rengas Datuk Seri Nazri Aziz.
Hapuskan undang-undang “jurassic” yang boleh digunakan terhadap ahli politik, kata Ahli Parlimen Padang Rengas Datuk Seri Nazri Aziz.
“Bagi mengelak Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) daripada digunakan terhadap ahli politik, mungkin kita boleh melihat peruntukan di bawah Kanun Keseksaan seperti Seksyen 124(b) hingga 124(j), yang meliputi kesalahan yang memudaratkan demokrasi berparlimen.
“Semua ini, kita boleh buang kerana ia ‘jurassic’,” kata Nazri ketika membahaskan Rang Undang-undang untuk melanjutkan Sosma di Dewan Rakyat hari ini (26 Julai).
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) itu berkata peruntukan yang disebut mungkin sesuai pada zaman dahulu tetapi kini sudah lapuk.
Bagaimanapun, Dewan Rakyat hari ini meluluskan pelanjutan tempoh tahanan suspek di bawah Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma), setelah undian secara blok dilakukan.
Mengulas lanjut Nazri berkata undang-undang yang digunakan terhadap ahli politik mungkin sesuai untuk tahun 1940-an, 1950-an, 1960-an dan 1970-an tetapi Malaysia kini menuju ke 2023.
Dalam perbahasan sama, Nazri menegaskan beliau menyokong subseksyen Sosma itu dilanjutkan kerana ia menyediakan satu cara untuk polis menangani jenayah berat.
“Semua orang hanya bercakap mengenai hak tertuduh dan polis di bawah Sosma tetapi tidak ada sebutan mengenai mangsa.
“Bagaimana dengan apa yang mereka (mangsa) mahukan? Jika anda bertanya kepada mangsa dan keluarga mereka, mereka akan mengatakan bahawa mereka mahukan keadilan,” katanya.
Beliau berkata Sosma, yang dibentangkannya di Parlimen ketika menjadi menteri undang-undang pada 2012, adalah alat untuk polis menjalankan siasatan membabitkan jenayah berat dan sebagai cara untuk mencari keadilan bagi mangsa dan keluarga.
Antara peruntukan di bawah Sosma ialah hak yang diberikan kepada polis untuk menahan suspek selama 28 hari untuk siasatan tanpa didakwa.
Undang-undang di bawah Sosma boleh dikuatkuasakan untuk tempoh lima tahun yang memerlukan persetujuan Dewan Rakyat untuk memperbaharui.
Had lima tahun semasa untuk Sosma berakhir pada 31 Julai akan datang.
Pada sidang Dewan Rakyat 23 Mac lalu, usul untuk melanjutkan penguatkuasaan subseksyen 4(5) Sosma yang membenarkan penahanan suspek sehingga 28 hari tanpa bicara, ditolak oleh ahli Parlimen.
Rabu lalu (20 Julai), Dewan meluluskan rang undang-undang (RUU) untuk membatalkan keputusan awalnya untuk tidak melanjutkan Sosma.