Hanya Labuan catat peningkatan kes harian, 460 mangsa banjir positif

Semua negeri dan Wilayah Persekutuan, kecuali Labuan, hari ini mencatat penurunan jangkitan baharu Covid-19 dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi – hari kedua tahun baharu 2022.

Kadar jangkitan itu seiring dengan penurunan peringkat nasional daripada 3,386 kes yang direkodkan semalam kepada 2,882 kes hari ini. Kali terakhir negara mencatat di bawah 3,000 kes adalah pada 28 Disember lalu sebanyak 2,897 kes.

Menurut statistik dikeluarkan Jabatan Kesihatan setiap negeri malam ini, Labuan merekodkan 15 kes baharu berbanding dua kes semalam menjadikan kumulatif positif sebanyak 10,826, dengan 10,630 pesakit telah sembuh dan kini terdapat 45 kes yang masih aktif.

Daripada jumlah kes aktif itu 27 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 12 ditempatkan di PKRC; enam dimasukkan ke hospital dan tiada pesakit dirawat di unit rawatan rapi (ICU).

Secara keseluruhannya 79,624 atau 79.9 peratus penduduk Labuan telah lengkap divaksinasi, 83.1 peratus atau 82,782 lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos, dan 16,335 individu lagi menerima suntikan dos penggalak.

Selangor – negeri hot spots Covid-19 di Malaysia – kekal mencatat kes harian tertinggi apabila merekodkan 734 kes baharu berbanding 786 kes semalam, menjadikan kumulatif positif sebanyak 787,416, dengan 767,108 pesakit telah sembuh, dan 10,350 kes masih aktif.

Daripada jumlah kes aktif di Selangor, 8,975 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 506 ditempatkan di PKRC; 820 dimasukkan ke hospital; dan 49 dirawat di ICU, dengan 29 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan sembilan kes baharu melibatkan mangsa banjir dikesan dalam tempoh 24 jam sehingga 3 petang tadi, menjadikan keseluruhannya 460 kes.

“Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat penempatan sementara dan positif Covid-19 kekal dengan 15 kes. Kluster dalam kalangan mangsa banjir juga kekal satu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya daripada 2,882 kes harian yang dilaporkan hari ini, 49 kes atau 1.7 peratus melibatkan jangkitan kategori 3, 4, dan 5, manakala 2,833 kes (98.3 peratus) lagi adalah terdiri kategori 1 dan 2.

“Seramai 3,291 pesakit disahkan sembuh hari ini menjadikan kumulatif pulih sebanyak 2,692,216 kes atau 97.4 peratus daripada 2,764,354 kumulatif positif sejak awal tahun 2020,” katanya.

Katanya dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi sebanyak 333 kes import yang turut membabitkan 20 rakyat asing dikesan, manakala 2,549 kes lagi adalah penularan tempatan, termasuk 71 melibatkan warga asing.

Sehingga kini seramai 284 pesakit masih dirawat di ICU, dengan 156 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Dr Noor Hisham berkata hanya satu kluster baharu dikesan hari ini, menjadikan jumlah kluster aktif sebanyak 209.

BERITA BERKAIT
POPULAR