Hanya Kluster Mahkamah enggan bersama Bersatu, PM UMNO OK saja

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilihat tidak mempunyai masalah untuk terus bekerjasama dengan Bersatu dan PAS di dalam Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan datang.

Sebaliknya yang menimbulkan banyak masalah sehingga menyukarkan akar umbi UMNO untuk bekerjasama dengan Bersatu dan PN adalah pemimpin ‘Kluster Mahkamah’ yang memonopoli kepemimpinan tertinggi parti itu.

Ismail Sabri yang juga Perdana Menteri dilihat tiada masalah untuk bekerjasama (dengan Bersatu dan PN), tetapi Kluster Mahkamah ini yang buat hal demi kepentingan diri, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas, Datuk Che Zakaria Mohd Salleh.

Pengaruh Kluster Mahkamah ini – antaranya Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak; Setiausaha Agung, Datuk Seri Ahmad Maslan, dan beberapa lagi ahli Majlis Tertinggi (MT) parti itu – yang terdesak sebenarnya menjadi punca mengheret ahli akar umbi parti itu untuk enggan bekerjasama.

Zahid yang juga Ahli Parlimen (MP) Bagan Datuk dan rakan karibnya Najib diheret ke mahkamah pada 2019 selepas Barisan Nasional (BN) kalah teruk dalam Pilihan Raya Umum Ke-14, kepada Pakatan Harapan (PH) yang diketuai Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beberapa bulan selepas terbentuknya kerajaan PH, Zahid dan Najib serta beberapa pemimpin UMNO dituduh di mahkamah atas tuduhan jenayah membabitkan berbilion-bilion ringgit wang negara yang diseleweng, rasuah, penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang haram.

Zahid menghadapi 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram, melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi, di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Presiden UMNO itu juga berdepan 40 pertuduhan menerima suapan jutaan ringgit ketika menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri sebelum ini, di Mahkamah Tinggi Shah Alam. Pertuduhan dikemukakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Najib yang juga MP Pekan, pula telah dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta, selepas didapati bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd (SRC).

Bekas Presiden UMNO itu juga sedang berdepan perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membabitkan berbilion ringgit, tuduhan mengubah laporan audit 1MDB, disaman oleh 1MDB, selain berdepan tindakan bankrap oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Sementara Ahmad yang juga MP Pontian, dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas pertuduhan gagal mengisytiharkan RM2 juta yang diterima daripada Najib kepada LHDN dan memberi penyataan palsu kepada SPRM, selepas membayar kompaun RM1.1 juta.

Beberapa pemimpin UMNO lain termasuk MP Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Rahim dan pemimpin UMNO Johor Datuk Shahrir Samad turut berdepan tuduhan di mahkamah.

Sementara itu memetik laporan Utusan, Che Zakaria berkata Bersatu telah banyak berkorban untuk UMNO tetapi semangat setia kawan itu tidak pernah dihargai.

“Maka wajarlah Bersatu dan PN menentang UMNO di semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen pada PRU15 nanti. Bersatu tidak akan terhegeh-hegeh jika UMNO tidak mahu bekerjasama dengan PN khususnya di Johor.

“Pada PRU15 nanti, Bersatu akan bersama parti yang mahu bekerjasama dengan kita sahaja, kalau UMNO tidak mahu apakah daya. Kita harapkan gabungan Bersatu, PAS dan Gerakan dalam PN. Sebelum ini semua sudah kita lakukan atas semangat PN, apa lagi UMNO mahu,’’ tegas Che Zakaria yang juga pemimpin Bersatu Johor.

Jumaat lalu, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Bersatu belum jelas dengan hala tuju UMNO sama ada akan terus bersama-sama dalam PRU15 atau parti itu mempunyai pilihan lain.

Bekas Perdana Menteri itu dilaporkan berkata, pihaknya bersedia dengan segala kemungkinan dan tidak mempunyai masalah untuk terus bekerjasama dengan UMNO dalam PRU15 jika mereka memilih untuk bersama.

“Jika mereka sebahagian daripada kita, kita akan bekerjasama. Jika tidak, kita akan menentang mereka pada PRU akan datang. Ini adalah prinsip kita yang mana saya rasa ia sememangnya diterima oleh semua ahli Bersatu,” ujar Ahli Parlimen Pagoh itu.

Mengulas lanjut, Che Zakaria berpendapat Bersatu adalah parti paling ideal dan relevan dalam PRU15 terutama untuk orang Melayu dan Bumiputera membuat pilihan sekali gus menggantikan UMNO.

“Bersatu konsisten dengan perjuangan asal penubuhannya iaitu menolak kleptokrasi dan amalan rasuah. Kita bukan sahaja mempertahankan hak dan kepentingan Bumiputera tetapi semua kaum di negara ini.

“Jika mahu bekerjasama memikirkan penyelesaian masalah rakyat, mari kita duduk bersama-sama. Sebaliknya jika masih dengan perangai lama, mengejar projek, kekayaan dan mementingkan diri sendiri, ini kita perlu tolak,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR