Hanya 8 kluster tempat kerja, 7 komuniti dikesan hari ini

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini mengesan hanya dua kluster sahaja iaitu tempat kerja dan komuniti, berbanding hari-hari sebelum ini yang turut membabitkan kumpulan berisiko tinggi, pendidikan dan pusat tahanan.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi 15 kluster dikesan, membabitkan lapan kluster komuniti dan tujuh (tempat kerja).

Ini adalah kali pertama dalam tempoh beberapa bulan lalu jumlah kluster paling rendah pernah dicatatkan dan hanya membabitkan dua kelompok individu.

Beliau berkata enam daripada kluster komuniti itu pula direkodkan di Kelantan membabitkan masing-masing tiga di Kota Bharu dan Pasir Mas dengan jumlah jangkitan sebanyak 69 individu.

Dua lagi kluster komuniti dikesan di Cameron Highlands, Pahang membabitkan 22 individu, dan di Kinta, Perak (10 individu).

Sementara itu tiga kluster tempat kerja dikesan di Selangor membabitkan 108 individu; dua di Johor (Muar dan Kota Tinggi melibatkan 75 individu); Kelantan (Gua Musang – sembilan individu); dan Sabah (Keningau – 48 individu).

Dalam perkembangan lain, Dr Noor Hisham berkata dalam tempoh 24 jam itu juga 16,628 pesakit Covid-19 disahkan sembuh menjadikan kumulatif sejak Mac tahun lalu meningkat kepada 1,933,716 kes atau 89.7 peratus daripada jumlah kumulatif positif sebanyak 2,156,678 kes.

Beliau berkata daripada 13,754 jangkitan baharu yang dilaporkan hari ini, 1,260 turut membabitkan rakyat asing.

Seramai 1,107 pesakit dirawat diunit rawatan rapi. Daripada jumlah itu, 868 disahkan positif Covid-19, manakala 239 lagi dalam siasatan dan disyaki atau mungkin dijangkiti virus itu.

Terdapat 613 pesakit lagi memerlukan alat bantuan pernafasan dengan 387 kes disahkan positif, manakala 226 lagi disyaki atau mungkin dijangkiti.

BERITA BERKAIT
POPULAR