Hanya 10 kluster baharu hari ini libatkan 333 jangkitan

Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi hanya 10 kluster baharu dikesan di seluruh negara, membabitkan seramai 333 individu positif Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata jumlah terbaharu itu menjadikan keseluruhannya 5,501 kluster dengan 4,457 telah ditamatkan manakala 1,044 masih aktif.

Daripada jumlah kluster hari ini, empat kluster masing-masing membabitkan tempat kerja dan komuniti, manakala dua lagi adalah kumpulan berisiko tinggi yang melibatkan daerah Kinta, Perak seramai 24 individu, dan Kuantan, Pahang (50 individu).

Kelantan merekodkan dua kluster komuniti membabitkan 21 individu di Pasir Mas dan Kota Bharu, manakala satu kluster komuniti masing-masing di Terengganu (91 kes positif) dan Sarawak (28 kes positif).

Johor pula merekodkan tiga kluster tempat kerja masing-masing di Johor Bahru (59 kes); Pontian (24 kes); dan Mersing (25 kes). Satu lagi kluster tempat kerja dilaporkan di Gua Musang, Kelantan membabitkan 25 individu.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata seramai 15,396 pesakit sembuh dalam tempoh 24 jam itu menjadikan kumulatif keseluruhan sejak awal tahun lalu hingga hari ini kepada 2,086,111 kes kumulatif, atau 92.0peratus daripada keseluruhan kes positif.

Beliau juga memaklumkan 729 warga asing adalah antara 10,915 pesakit baharu yang dikesan hari ini.

Daripada jumlah jangkitan baharu hari ini, 130 kes atau 1.3 peratus membabitkan kategori 3, 4, dan 5, manakala 10,776 atau 98.7 peratus lagi adalah kategori 1 dan 2.

Katanya sebanyak 888 pesakit kini dirawat di unit rawatan rapi dan 484 pesakit memerlukan alat bantuan pernafasan.

BERITA BERKAIT
POPULAR