Hancur hati orang ramai tiada pengeluaran KWSP

Sebilangan rakyat hampa apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kerajaan tidak berhasrat meluluskan pengelua­ran simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM10,000 secara one-off.

Isu pengeluaran simpanan KWSP i-Citra RM10,000 kembali hangat diperkatakan di media sosial ketika ini.

Orang ramai berpendapat bahawa simpanan KWSP tersebut perlu diluluskan segera ketika ramai mangsa terjejas akibat banjir yang sedang melanda negara ketika ini.

Rata-rata orang ramai turut berharap agar kerajaan terus meluluskan pengeluaran wang tersebut sekali gus tanpa syarat memandangkan ramai yang memerlukan ketika ini.

“Luluskan sahaja pengeluaran i-Citra RM10,000 tu, kebetulan dengan keadaan sekarang. Ada yang nak baiki kereta, rumah, kenapa susah sangat.

“Cukup-cukup lah berbincang, mesyuarat bagai, duit itu pun hak pencarum,” jelas Zariff Hadi.

“Tengok keadaan sekarang memang ramai yang memerlukan, pembukaan sekolah pun dah nak dekat. Banyak persediaan dan barang yang perlu diganti.

“Dah berapa kali bencana kita hadap, berapa kali juga rakyat minta. Kenapa susah sangat nak luluskan?” soal Marzuki68.

Dalam pada itu, perangkaan seramai 3.6 juta ahli KWSP mempunyai simpanan kurang RM1,000 adalah situasi yang membimbangkan kepada pekerja secara spesifiknya dan kepada pasaran buruh secara amnya.

Pun begitu, Pakar Ekonomi, Prof Madya Dr Mohd Yusof Saari berkata, beberapa faktor mempengaruhi perangkaan demikian termasuk kemudahan pengeluaran sebelum ini.

“Antaranya seperti i-Sinar, pembayaran ansuran rumah dan yuran pengajian yang turut berkemungkinan menyumbang kepada angka itu.

“Wujud juga kecenderungan ahli KWSP yang tidak aktif mencarum kerana beralih kepada sektor pekerjaan bersifat tak formal.

“Caruman yang rendah, iaitu hanya bersandarkan kepada gaji asas (basic pay) dan sebahagiannya mereka ini adalah kategori yang baru sahaja memasuki alam pekerjaan,” katanya.

Beliau berkata, untuk mendapatkan kepastian kepada faktor yang berkenaan, perincian kepada data KWSP itu perlu dilakukan.

Menurutnya, perincian data itu penting bagi memastikan kesahihan situasi dan bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat serta pembuat dasar.

“Umpamanya, jika simpanan berkurangan menjadi RM1,000 adalah terdiri daripada golongan muda yang baru memasuki pasaran buruh dan mereka ini telah membuat pengeluaran i-Sinar. Ini adalah logik.

“Namun apa pula signifikan kepada pencarum yang mempunyai simpanan ‘lebih atau layak’ sekiranya dibenarkan mengeluarkan secara ‘one off’ RM10,000 seperti yang dikehendaki ramai.

“Saya cenderung berpandangan kemudahan pengeluaran KWSP ini sepatutnya menjadi benteng terakhir pekerja,” katanya.

Dari segi perspektif ekonomi, katanya, kemudahan pengeluaran masa kini bermakna pekerja mengambil risiko kebajikan mereka selepas bersara kelak atau kegunaan semasa kecemasan yang membabitkan kesihatan.

Beliau berkata, pengeluaran KWSP seharusnya diberikan kepada mereka yang terkesan akibat pandemik Covid-19 terutamanya kepada mereka masih belum mendapat pekerjaan yang stabil dan mereka ingin beralih kepada keusahawanan.

BERITA BERKAIT
POPULAR