
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin hari ini berkata beliau tidak mengetahui bahawa Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) telah memanggil PKR berhubung aduan yang diterima berkaitan pemilihan dalaman parti itu.
Sebaliknya, beliau menegaskan bahawa agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) beroperasi secara bebas.
“Adakah mereka? Jika ia benar maka ia adalah berita kepada saya,” katanya kepada pemberita di sini
“Seperti yang saya katakan sebelum ini, kami di KDN hanyalah pengawas. Apa yang mereka putuskan itu adalah kuasa mereka,” tambahnya.
Terdahulu, Setiausaha Agung PKR Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata parti itu menerima surat daripada RoS meminta penjelasan berhubung pemilihan parti itu baru-baru ini yang mengalami pelbagai krisis, termasuk pengundian.
Surat daripada RoS itu sedang diuruskan oleh peguam parti, katanya.
Menurut Saifuddin beliau bimbang PKR mungkin menghadapi masalah dengan RoS – sama seperti yang berlaku kepada DAP pada 2013 dan MIC pada 2015 – dan beliau akan memastikan tugas terakhirnya sebagai setiausaha agung adalah untuk mempertahankan parti.
Hamzah sebelum ini menafikan dakwaan beliau sebagai Menteri Dalam Negeri boleh mempengaruhi RoS untuk memaksa UMNO mengadakan pemilihan parti.
Mei lalu, Perhimpunan Agung Khas UMNO meminda perlembagaannya supayapemilihan parti itu mesti diadakan hanya selepas Pilihan Raya Umum (PRU) selesai. Pindaan itu masih menunggu kelulusan RoS.
Terdapat spekulasi bahawa pengawal selia akan mengisytiharkan pindaan itu tidak sah dan memaksa UMNO mengadakan pemilihannya tahun ini. Sekiranya itu berlaku, Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mungkin berdepan cabaran untuk jawatan itu.
Rabu lalu, Hamzah berkata RoS berhak membuat keputusan secara bebas berhubung permohonan UMNO untuk meminda perlembagaan parti.